Images
  • stallone
    Pelakon mapan Sylvester Stallone (Gambar: Instagram/Sylvester Stallone)

Stallone umum Rocky Balboa 'gantung' sarung tangan

AMERIKA SYARIKAT: Selepas lebih 40 tahun pelakon Sylvester Stallone menghidupkan watak Rocky Balboa di layar perak, beliau mengumumkan sudah tiba masanya bagi peninju fiksyen itu untuk akhirnya 'menggantung' sarung tangan.

Laman USA Today melaporkan, melalui satu video yang dikongsikan dalam akaun Instagramnya, pelakon itu yang merujuk kepada penampilan terbarunya dalam 'Creed 2', berkata watak itu sudah bersedia untuk 'bersara'.

"Berkemungkinan besar ini adalah 'rodeo' terakhirku."

Creed 2 adalah kesinambungan daripada kisah Rocky, seorang juara tinju yang sudah lanjut usia dan melatih protege baru, Michael B Jordan.

“Saya sebelum ini menyangka Rocky sudah tamat pada 2006 dan berasa amat gembira.

"Tetapi tiba-tiba muncul seorang pemuda dan keseluruhan jalan cerita kemudian berubah.

“Ia berterusan kepada generasi baru, masalah baru dan cabaran baru,” kata Stallone.

Economic Times melaporkan, sejak filem pertama pada 1976, francais itu menghasilkan tujuh lagi filem susulan: Rocky II - V (1979, 1982, 1985, 1990), Rocky Balboa (2006), Creed (2015) dan Creed II (2018).

Mungkin tidak salah jika dikatakan hanya satu filem yang memaparkan lebih banyak pusingan perlawanan tinju daripada siri Rocky - iaitu filem Labu Labi (1962).

Meskipun tidak berlawan sampai 127 pusingan seperti perlawanan tinju antara Allahyarham P Ramlee dan Mohd Zain, ternyata Stallone sudah lama berfikir francais Rocky patut berakhir.

"Terima kasih yang tak terhingga (kepada pengarah Steven Caple Jr.) dan anda, Michael (B. Jordan) kerana menjadikan ini realiti. Kini sudah tiba anda meneruskan tanggunjawab ini," tambah Stallone seperti ditukil USA Today.

Filem Rocky muncul pada 1976 dan menerima 10 pencalonan Oscar pada Anugerah Academy yang diadakan setahun kemudian.

Daripada 10 pencalonan itu filem berkenaan memenangi tiga anugerah iaitu filem terbaik, pengarah terbaik dan suntingan terbaik.

Sejauh ini, catatan Instagram Stallone itu sudah ditonton lebih 900,000 kali dan menarik lebih 6,000 komen. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top