Images
  • slash myles kennedy
    Slash (kanan) bersama Myles Kennedy (kiri) & the Conspirators di menggegarkan pentas di  Jurere, Florianopolis, Brazil pada 22 Mei 2019. (Gambar: Eduardo VALENTE/AFP) 

Slash bakal keluarkan album baru, terbitan pertama di bawah label Gibson

AMERIKA SYARIKAT: Peminat pemain gitar 'rock' tersohor Slash pasti akan bersorak, setelah artis ikonik yang sinonim dengan kugiran Guns N' Roses itu mengesahkan akan menerbitkan album baru tidak lama lagi.

Lebih menarik lagi, menurut laman Loudwire, album itu bakal dikeluarkan di bawah label rekod baru Gibson Records, yang ditubuhkan syarikat pembuat gitar ternama Gibson.

Album itu adalah album studio keempat oleh Slash bersama Myles Kennedy and the Conspirators.

Mengulas tentang kerjasama dengan Gibson Records, Slash menyifatkannya sebagai satu "penghormatan" untuk menjadi yang pertama menerbitkan album di bawah label itu.

"Ia tentunya satu kemuncak kerjasama kami dan setelah bekerjasama dengan Gibson selama begitu lama, saya tahu ia akan menjadi label yang setara tulus menyokong artis-artis mereka secara kreatif. Bukan saja saya, tetapi mana-mana artis yang mereka pilih untuk jalinkan kerjasama," kata Slash.

"Melancarkan label rekod yang berkhidmat bagi barisan artis kami adalah evolusi semula jadi sejarah 127 tahun kami," kata Presiden Jenama bagi Gibson Brands, Cesar Gueikian dalam satu kenyataan.

Laman Loudersound menyifatkan keputusan Gibson menubuhkan label rekod, hasil kerjasama dengan BMG, sebagai satu lagi langkah penting mempelbagaikan perniagaan syarikat itu yang tertumpu kepada pengilangan alat muzik dan aksesori.

Mula menempa nama pada lewat 1980-an sebagai pemain gitar utama kugiran Guns N' Roses, Slash yang merupakan salah satu artis 'signature' syarikat gitar Gibson, banyak dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan dan projek solo lain seperti Velvet Revolver dan Slash's Snakepit.

Selain bergabung semula dengan kugiran asalnya Guns N' Roses pada 2016, projek bersama vokalis Alter Bridge Myles Kennedy dan kumpulan the Conspirators itu adalah antara projek utama Slash sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Album studio terakhir yang dikeluarkan Slash bersama Miles Kennedy and the Conspirators itu berjudul 'Living the Dream' yang diterbitkan pada 2018. 

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/TQ/tq

Top