Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Sarah akan jalani pembedahan keluarkan bayi dalam kandungan

Siti Sarah Raisuddin yang dilaporkan kritikal sudah mula memberikan maklum balas yang positif.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Sarah akan jalani pembedahan keluarkan bayi dalam kandungan

Shuib bersama arwah isteri, Siti Sarah. (Gambar: Shuib Sepahtu/Instagram)

Diterbitkan : 06 Aug 2021 02:17PM Dikemas Kini : 06 Aug 2021 02:22PM

KUALA LUMPUR: Siti Sarah Raisuddin yang dilaporkan kritikal sudah mula memberikan maklum balas yang positif.

Astro Awani melaporkan kandungan beliau yang kini berusia tujuh bulan juga stabil.

Sehubungan itu, doktor dijangka melakukan pembedahan sekitar pukul 2.00 petang nanti (6 Ogos) untuk mengeluarkan kandungan isteri kepada pelawak Shuib itu.

"Alhamdulillah sebaik selesai bacaan Yassin buat Siti Sarah sebentar tadi, doktor menghubungi Shuib dan memaklumkan Siti Sarah sudah kembali stabil.

"Insya Allah pukul 2.00 petang ini doktor akan melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya," kata pengurus Siti Sarah, Nana Mohamad Rom kepada Astro Awani.

Siti Sarah yang dijangkiti wabak COVID-19 sebelum ini dikejarkan ke hospital dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara.

Suaminya, Shuib memohon semua pihak agar dapat bersama-sama mendoakan isterinya diberi kekuatan untuk menghadapi ujian kesihatan.

Menurut Shuib, sebolehnya dia enggan memikirkan perkara yang bukan-bukan ketika ini selain mengharapkan ihsan daripada Allah semoga isterinya dapat segera pulih.

Kata Shuib, doktor sudah memaklumkan kepadanya untuk 'menidurkan' isterinya buat sementara waktu kerana keadaannya yang kritikal.

"Mohon doakan isteri saya. Semoga Siti Sarah dapat melalui proses koma dengan kuat dan dapat melawan kesakitan.

"Semoga tahap oksigen dan paru-paru dia kembali normal. Selepas proses itu, barulah doktor akan memikirkan langkah untuk membawa bayi dalam kandungan.

"Saya harapkan semua orang agar dapat mendoakan isteri saya melalui dugaan ini," kata Shuib.

Shuib berkata demikian semasa berkongsi status isterinya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara dalam majlis bacaan Yassin buat Siti Sarah melalui Google Meet sebentar tadi, lapor Astro Awani.

Majlis bacaan Yassin itu dipimpin oleh Imam Muda Asyraf dan sertai oleh hampir 100 kenalan pasangan suami isteri itu. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan