Images
  • siti saleha
    Siti Saleha mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya Ahmad Lutfi Azhar. (Gambar: Instagram/sallywho)

Siti Saleha fail cerai selepas 4 tahun berkahwin

KUALA LUMPUR: Pelakon wanita popular Malaysia, Siti Saleha, 31 tahun mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya Ahmad Lutfi Azhar, 35 tahun selepas berdepan keretakan rumah tangga.

Memilih untuk tidak berkongsi lanjut tentang punca perceraiannya, Siti Saleha akur dengan ketentuan hidupnya.

"Saya memfailkan kes cerai ini atas kebenaran mahkamah.

"Saya mohon pengertian ramai terhadap apa yang saya lalui.

"Selanjutnya, saya enggan mengulas. Terima kasih," demikian reaksi spontan pelakon 7 Hari Mencintaku itu kepada BH Online.

Pagi tadi (13 Okt), Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 itu selaku plaintif hadir di Mahkamah Rendah Syariah, Klang, Selangor bagi sebutan kes perceraian dengan Ahmad Lutfi.

Menurut BH Online, berita itu amat mengejutkan kerana rumah tangga Siti Saleha dan Ahmad Lutfi disangka bahagia.

Lebih 13 tahun menceburi dunia seni, pelakon drama siri Scammer itu mendaki populariti dan memperlihatkan bakatnya tanpa mencampuri soal peribadi.

Malah, sejak menamatkan zaman bujang hanya sesekali kisah peribadi dikongsi ramai termasuk menantikan soal cahaya mata selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Jujurnya, Siti Saleha berkata, tidak semua perkara yang dirancang mampu diperoleh dengan sekelip mata.

Menerusi tinjauan BH Online, kali terakhir wanita kacukan Melayu-Inggeris itu berkongsi gambar bersama Ahmad Lutfi pada Mac lalu sempena ulang tahun ke-35 suaminya.

Pemenang trofi Asia Model Awards 2020 di Seoul, Korea Selatan itu mendirikan rumahtangga pada 28 Julai 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Tahun ini, wanita kelahiran Basildon, England itu berjaya membolot dua kategori, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Shukri Yahaya bagi drama 7 Hari Mencintaiku 2 pada ABPBH 34.

- Agensi berita/SM/sm

Top