Images
  • siti nurhaliza taufik batisah
    Siti Nurhaliza bersama penyanyi Indonesia Nisa Sabyan dan bintang setempat Taufik Batisah. (Gambar: Siti Nurhaliza Tarudin/Instagram)

Siti rakam lagu 'Ikhlas' dengan Taufik Batisah dan Nissa Sabyan sempena Syawal

KUALA LUMPUR: Syawal tahun ini bertambah istimewa lagi buat Siti Nurhaliza yang bakal mengeluarkan single terbaru sempena perayaan itu.

Penyanyi tersohor yang mesra disapa Siti oleh para peminatnya berganding dengan bintang tanah air, Taufik Batisah, dan penyanyi dari Indonesia, Nissa Sabyan untuk merakamkan lagu itu.

Single berjudul 'Ikhlas', digubah oleh Omar K. dan Ikhwan Fatanna, bakal berkumandang pada 31 Mei ini bersamaan dengan video muziknya, secara eksklusif hanya di Apple Music dan juga wadah lain mulai 7 Jun nanti.

Lagu tersebut diilhamkan tema bersatu hati dengan konsep video muziknya pula menelusuri zaman Rasul, lapor Malay Mail.

Sejak menjuarai pertandingan nyanyian musim pertama 'Singapora Idol', Taufik yang berusia 37 tahun mewarnai industri hiburan tanah air bahkan juga dikenali dan diterima di seberang tambak.

Sementara itu, Nissa atau nama sebenarnya Khairunissa - berusia 19 tahun - ialah seorang penyanyi kumpulan gambus Indonesia terkenal bernama Sabyan Gambus.

Dalam kenyataannya, menurut Malay Mail, Siti berkata beliau amat teruja untuk menantikan para peminatnya mendengar lagu 'Ikhlas'.

"Ia adalah sebuah kolaborasi antara tiga negara, bertujuan untuk memaparkan keindahan Syawal. 'Ikhlas' juga suatu peringatan kepada kita semua untuk sentiasa bersyukur ke atas segala rahmat terutama semasa bulan penuh keberkatan ini."

Bagi Nissa pula, beliau merebut peluang untuk merakamkan lagu tersebut kerana jatuh cinta dengan mesejnya yang mudah namun penuh bermakna.

"Ia pastinya menakjubkan untuk melihat tiga suara dan personaliti berbeza berganding bahu untuk (menjayakan) lagu ini," luah Taufik seperti ditukil Malay Mail

- Agensi berita/FZ/fz

Top