Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza tujukan lagu ‘Basyirah’ buat petugas barisan hadapan

Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin mendedikasikan lagu baharunya bertajuk ‘Basyirah’ kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai pengorbanan mereka yang berjuang mengekang penularan wabak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza tujukan lagu ‘Basyirah’ buat petugas barisan hadapan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 May 2020 06:48PM Dikemas Kini : 08 May 2020 06:50PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin mendedikasikan lagu baharunya bertajuk ‘Basyirah’ kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai pengorbanan mereka yang berjuang mengekang penularan wabak COVID-19.

Siti Nurhaliza, yang mesra dengan panggilan Tok Ti menyifatkan bait-bait lirik lagu ‘Basyirah’ atau yang bermaksud ‘Khabar Gembira’ itu bukan hanya sebagai hiburan semata-mata namun mempunyai mesej yang mendalam.

“Alhamdulillah, single 'Basyirah’ telah berada di semua platform digital. Beli dan 'strem’ ya semua.

“Tidak hanya sebuah lagu untuk hiburan tetapi saya melagukan supaya maknanya sampai, rasanya sampai dan setulus dedikasi untuk semua 'KITA' yang menjadi 'barisan hadapan'. Bagi saya selain barisan hadapan yang berkorban dalam keadaan sekarang, kita juga berperanan untuk mendukung mereka,” katanya menerusi kapsyen di Instagram, semalam (7 Mei).

‘Basyirah’ yang dilancarkan sejak tengah malam tadi merupakan hasil ciptaan pengacara dan penulis lirik terkenal Ahmad Fedtri Yahya dan komposernya Hafiz Hamidun.

Muzik video lirik rasmi ‘Basyirah’ boleh ditonton di laman YouTube Siti Official Video pada jam 3.00 petang hari ini.

Dalam pada itu, Tok Ti turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik karya individu lain secara haram.

“Apalah ertinya 'Khabar Gembira' atau 'Basyirah', jika masih ada dalam kalangan kita merasakan sesebuah karya itu boleh dirampas, dijadikan hak kepentingan diri, diperkotak-katikkan hak ciptaan.

“Kita tidak akan menang atau menjadi nombor satu dengan sifat rakus memuat naik dan menyebarkan lagu yang tidak sampai sejam pun dilancarkan dengan cara tidak sah.

“Belajarlah menghormati dan menghargai penat lelah dan hak orang lain. Terima kasih kepada semua yang telah mendapatkan lagu 'Basyirah', semoga berkenan di hati dan sama-sama menghayati,” kata penyanyi berusia 41 tahun itu.

‘Basyirah’ kini boleh dimuat turun dari semua platform digital seperti Apple Music (iTunes), Spotify, Joox dan KKBox.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan