Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza sokong peniaga tempatan tetapi beri amaran akaun palsu untuk menipu

Akaun palsu menggunakan nama dan gambar artis termasuk Siti Nurhaliza digunakan untuk tujuan menipu orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza sokong peniaga tempatan tetapi beri amaran akaun palsu untuk menipu

Siti Nurhaliza Tarudin. (Gambar: Instagram/CTDK)

Diterbitkan : 25 Jan 2021 01:56PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 02:00PM

KUALA LUMPUR: "Siapa pula yang guna nama dan gambar saya buat akaun dan cuba nak scam orang ni?"

Begitu luahan penyanyi terkemuka Malaysia Siti Nurhaliza setelah terdapat pihak yang menyalahgunakan nama dan gambarnya bagi tujuan menipu orang ramai.

Siti, 42 tahun, berkata, perbuatan itu juga membawa fitnah dan menjejas nama baiknya.

"Saya tegaskan ini bukan akaun saya dan siapa yang membuat akaun ini, menipu dan memperdaya orang, saya harap hentikan perbuatan ini. Jom kita lapor akaun ini beramai-ramai," seru beliau di Instagram seperti ditukil Harian Metro.

"Jangan ambil kesempatan kepada orang lain dan menggunakan nama dan gambar saya pula. Ini bukan sahaja mendatangkan fitnah tetapi (jejas) reputasi saya juga.

Siti, yang juga dikenali dengan gelaran Tok Ti, turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan akaun-akaun palsu sebegitu.

"Akaun ini cuba 'scam' orang, menawarkan wang tunai, memberikan cara dan syarat untuk mendapatkan wang tersebut. Pada zaman ini kita semua kena buka minda supaya tidak terpedaya dengan 'scammer' seperti ini," katanya.

Kepada pihak tidak bertanggungjawab pula, beliau bertegas agar mereka memadam akaun tersebut sebelum sebarang tindakan tegas diambil.

"Kepada pemilik akaun ini, sila padamkan akaun anda, atau kami kenakan tindakan tegas. Kalian jangan terpedaya kerana saya hanya ada satu akaun rasmi sahaja iaitu @ctdk, tidak ada akaun lain," katanya.

TIDAK KEBERATAN SOKONG PERNIAGAAN, TAPI JANGAN MENIPU, SALAH GUNA GAMBAR

Dalam satu catatan berasingan di Instagram, Siti berkata terdapat sesetengah pihak yang menggunakan gambar beliau dalam memasarkan perniagaan mereka.

Siti berkata beliau sememangnya tidak keberatan untuk sokong mana-mana perniagaan, mentelah lagi di tengah cabaran ekonomi sekarang.

Namun beliau menegaskan bahawa menggunakan gambarnya tanpa izin ibarat satu penipuan dan adalah sesuatu tindakan yang tidak betul.

"Saya memang tidak ada masalah nak sokong perniagaan sesiapa saja dan saya tahu dalam keadaan sekarang semua orang terjejas tetapi jika salah guna, menipu dan juga gunakan pula gambar saya, ini perbuatan yang tidak betul.

"Janganlah berniaga dengan memperdaya orang. Carilah keberkatan di dalam apa jua yang kita buat. Tolong jangan terpedaya dan sila lapor akaun yang guna nama saya," katanya.

Dalam pada itu, Siti menjelaskan beliau hanya mempunyai beberapa akaun rasmi iaitu: @ctdk (Instagram), Siti Nurhaliza (laman Facebook), @CTNurhaliza11 (Twitter), @officialsimplysiti dan @beausitiofficial (akaun perniagaan).

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan