Images
  • siti nurhaliza baby
    (Gambar dari Instagram Asyraf Khalid)

Siti Nurhaliza selamat lahirkan bayi lelaki

PUTRAJAYA: Penyanyi terkenal Malaysia Siti Nurhaliza selamat melahirkan seorang bayi lelaki di pusat perubatan Selangor pada 6.21 pagi tadi (19 Apr).

Dalam kenyataan Pengurusan SNP (M) Sdn. Bhd di laman Instagram CTDK, bayi penyanyi berusia 42 tahun itu seberat 3.84 kilogram dan dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.

Menurut kenyataan itu, Siti dan bayinya dalam keadaan sihat.

Suami Siti, Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur, sambil mengucapkan terima kasih di atas doa keluarga, saudara mara, sahabat handai, peminat, media dan orang ramai.

Pasangan itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak doktor dan jururawat yang diketuai oleh Dr. Leong Wai Yew daripada Alpha IVF & Women's Specialist yang telah menjalankan tanggungjawab dan khidmat terbaik sepanjang proses kehamilan Siti.

Selain itu, Khalid dan Siti juga mengucapkan terima kasih kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women's Specialists, Dr. Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In vitro fertilization (IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak yang kedua ini juga.

Setakat ini, pasangan itu belum mendedahkan nama cahaya mata kedua mereka. Namun menurut portal saluran radio hot.FM Malaysia pada 12 Dis lalu, Khalid mendedahkan nama anak kedua mereka akan bermula dengan Muhammad dan seterusnya dengan huruf A.

- BERITAmediacorp/AY/ha

Top