Images
  • siti nurhaliza (1)
    (Gambar: Instagram/ctdk)

Siti Nurhaliza rakam album lagu klasik kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Ingatan dan kenangan terhadap lagu-lagu seperti Bunga Matahari, Burung Kakak Tua, Suriram, Buai Laju-laju, Anakku Sazali dan banyak lagi sentiasa hadir dalam kotak memori penyanyi terkenal Siti Nurhaliza.

Kepada penyanyi kesayangan ramai itu, beliau membesar dengan lagu-lagu klasik sedemikian kerana seperti kanak-kanak lain, ibu dan ayahnya sering mengalunkan lagu-lagu itu kepadanya.

Justeru, sebagai menghargai keindahan melodi klasik lagu-lagu tersebut, Siti Nurhaliza membuat keputusan merakamkannya dalam versi baru untuk dimuatkan dalam sebuah album yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Siti sangat suka dengan lagu-lagu itu. Masa kanak-kanak, lagu-lagu itulah yang sering Siti nyanyikan, Jadi, apabila ada ruang dan kesempatan, Siti buat keputusan untuk merakamkannya untuk memberi peluang kepada peminat-peminat Siti untuk menghargainya pula,” kata Siti Nurhaliza dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu (10 Mac).

Selain lagu-lagu berkenaan, Siti Nurhaliza turut merakamkan sebuah lagu baru ciptaan beliau sendiri berjudul Anakanda yang liriknya ditulis oleh pengurus peribadinya, Rozi Abd Razak.

Kata Siti Nurhaliza, pembikinan album kanak-kanak itu melengkapkan cita-citanya yang sudah lama tertangguh.

Sebetulnya, ketika hamil anak sulung, Siti Aafiyah sekitar tiga tahun lalu, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk merakamkan sebuah album yang memuatkan lagu kanak-kanak.

Namun, lantaran terlalu banyak kekangan, hasrat itu terpaksa diabaikan, hanya sebuah single iaitu Comel Pipi Merah sahaja yang berpeluang dirakamkannya.

Justeru, kali ini, kata Siti Nurhaliza, berkat perancangan yang teliti, keinginan itu direalisasikan dan beliau secara peribadi amat gembira dengan hasil pembikinannya.

“Album ini boleh didengar oleh peminat-peminat saya ketika saya bercuti berpantang nanti. Bolehlah diperdengarkan kepada anak-anak kecil supaya mereka juga boleh menghargai irama-irama klasik,” katanya lagi.

Merakamkan lagu pada usia kandungan lapan bulan tidak dinafikan oleh Siti Nurhaliza yang beliau berhadapan dengan cabaran, lebih-lebih lagi pada aspek pernafasan.

“Memang tidak dinafikan, Siti berhadapan dengan cabaran pernafasan, faham-faham sajalah sudah lapan bulan (kandugan) dan jarang menyanyi sepanjang hamil.

“Namun begitu, syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan,” katanya sambil memaklumkan mulai hujung bulan ini beliau akan mula berehat dan memberi tumpuan pada kelahiran cahaya mata kedua.

- Agensi berita/HA/ha

Top