Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza bakal timang anak lelaki

Penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza, 41, bakal menimang cahaya mata lelaki pada April, tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza bakal timang anak lelaki

Siti Nurhaliza. (Gambar: Siti Nurhaliza/Instagram)

Diterbitkan : 12 Dec 2020 06:08PM Dikemas Kini : 12 Dec 2020 06:14PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza, 41, bakal menimang cahaya mata lelaki pada April, tahun depan.

Penyanyi seberang tambak itu berkongsi jantina anak yang bakal dilahirkan menerusi Kempen Shoppee Live 12.12 Birthday Sale secara maya, hari ini (12 Dis), lapor BHOnline. Suaminya, Encik Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, turut hadir bersama.

"Alhamdulillah, impian inginkan sepasang cahaya mata akan menjadi kenyataan, tidak lama lagi. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan ini," katanya yang kini hamil hampir lima bulan.

Siti berkata, anak sulungnya, Siti Aafiyah teruja bakal mendapat adik.

"Aafiyah, anak yang bijak. Apabila diterangkan akan mendapat adik, dia seakan faham. Malah, apabila ditanya mana adik, pantas ditunjuk ke perut saya dan menciumnya.

"Dia paling seronok nak dapat adik. Aafiyah, jenis yang suka kanak-kanak, tak kira kecil mahupun besar daripadanya.

"Jika ada anak kecil datang ke rumah, Aafiyah tidak segan buat kawan dan mengajak mereka main bersama-sama," katanya.

Berbanding awal trimester kehamilan, Siti berkata, beliau cepat penat dan lemah, menurut BHOnline.

"Nak bersiap pun jadi malas. Bagaimanapun, sekarang ini, sudah sedikit cergas. Tak mabuk dan loya lagi. Saya bolehlah turut serta dalam acara seperti kempen Shoppee ini.

"Saya bersyukur tidak mengidam bukan-bukan dan pelik sejak kehamilan Aafiyah hingga anak kedua ini. Semuanya masih terkawal, cuma saya tak boleh jamah makanan pedas sejak hamil Aafiyah dan anak kedua ini. Sedangkan, saya jenis suka makanan pedas," katanya.

Menurut BHOnline lagi, Datuk K mendedahkan anak lelak yang bakal dilahirkan juga akan dinamakan dengan permulaan nama Mohamad, diikuti huruf A.

"Saya sudah ada empat cahaya mata lelaki dan seorang perempuan. Nak tambah lagi seorang lelaki.

"Insya-Allah, nama anak kami akan dikongsi selepas tujuh hari kelahirannya nanti," katanya.

Pada acara sama, produk SimplySiti turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat kosmetik, Nr Cosmetics, milik jurusolek serta saintis, Nuex Rosli yang mengeluarkan produk dua dalam satu.

Produk jenama Siti yang sudah 10 tahun berada dalam pasaran di bawah kempen SimplySiti Di Hati turut menyertai kempen amal yang dianjurkan platform beli-belah berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan