Images
  • Pak Ngah
    Pak Ngah Suhaimi. (Gambar: Pak Ngah Suhaimi/Facebook)

Siti Nurhaliza bakal jayakan konsert penghormatan untuk Pak Ngah

MALAYSIA: Sudah hampir genap setahun sejak dunia muzik rantau ini dikejutkan dengan berita pemergian penggubah lagu tersohor Allahyarham Suhaimi Mohd Zain.

Namun bagi penyanyi terkenal Siti Nurhaliza yang banyak lagunya menerima sentuhan pejuang muzik tradisional yang dikenali ramai sebagai Pak Ngah, kehilangannya masih dapat dirasakan hingga hari ini.

Lantaran itu, beliau tidak teragak-agak untuk melibatkan diri apabila diberitahu tentang konsert penghormatan bagi penggubah lagu itu pada November ini.

“Apabila diberitahu oleh Mak Ngah (isteri Pak Ngah) penganjur akan mengadakan konsert tribute buat arwah, saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju. Saya menyokong penuh untuk terlibat dalam konsert ini," kata Siti seperti dilaporkan Utusan Online baru-baru ini.

“Pak Ngah adalah guru saya dalam industri muzik. Arwah banyak mengajar saya terutama dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional. Beliau juga orang pertama yang bertanggungjawab membawa saya selepas menjadi juara dalam pertandingan Hiburan Minggu Ini (HMI) pada 1995."

Mengulas lagi tentang jasa Allahyarham Pak Ngah kepada kerjayanya sebagai artis, Siti berkata: “Beliau orang pertama yang menegur dan mengkritik saya dalam nyanyian. Beliau bertanggungjawab menaikkan nama saya ke peringkat yang lebih tinggi melalui lagu-lagu ciptaannya."

Siti juga menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang mempunyai hati yang "sangat baik".

Berkongsi dengan Utusan Online tentang pengalamannya bila mula bertapak sebagai seorang penyanyi dan dibimbing Pak Ngah, Siti berkata:
“Cara ditegur itu mula-mula rasa takut juga, lama-kelamaan saya faham. Beliau memang seorang yang suka berterus-terang tetapi hatinya sangat baik."

Konsert penghormatan bagi penggubah lagu yang disegani itu akan berlangsung pada 14 dan 15 November di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

“Selain mengetengahkan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah, ia lebih menarik apabila bakal diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM)," tambah Siti.

Allahyarham Pak Ngah meninggal dunia pada 25 September tahun lalu di Indonesia akibat serangan jantung. Karyanya dibawakan oleh ramai penyanyi terkenal seperti Noraniza Idris dan Allahyarhamha Sharifah Aini, selain Siti Nurhaliza dan Wany Hasrita. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top