Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siri popular 'Squid Games' guna nombor telefon betul, pemilik berang terima lebih 4,000 panggilan

Seorang lelaki di Korea terima panggilan siang dan malam dari orang tidak dikenali setelah nombor telefonnya tertera dalam K-drama terkini di Netflix itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Siri popular 'Squid Games' guna nombor telefon betul, pemilik berang terima lebih 4,000 panggilan

(Gambar: via 8Days/TODAY)

Diterbitkan : 26 Sep 2021 07:38PM Dikemas Kini : 26 Sep 2021 07:40PM

SINGAPURA: Siri drama Korea Selatan yang sedang hangat di Netflix sekarang, Squid Game, terpalit kontroversi.

Siri tersebut mengisahkan sekumpulan individu yang terdesak akibat kekurangan wang, sanggup menggadai nyawa menyertai permainan berbahaya semata-mata untuk memenangi hadiah wang tunai.

Rancangan itu begitu popular hingga ia menjadi K-drama pertama yang mencapai nombor satu di carta Netflix di Amerika Syarikat.

Populariti rancangan itu bagaimanapun menyusahkan seorang individu.

Dalam drama tersebut, pelakon popular Gong Yoo, mengajak Sung Ki Hoon (dimainkan oleh Lee Jung Jae) untuk mengambil bahagian dalam permainan itu dengan memberinya kad kontak dengan nombor telefon.

Rupa-rupanya, nombor telefon tersebut bukan direka semata-mata bagi siri tersebut tetapi adalah kepunyaan seseorang yang dikenal pasti sebagai Encik A. Sejak drama itu mula ditayangkan pada 17 September di Netflix, dia tidak terhenti-henti menerima panggilan dan pesanan teks dari peminat drama tersebut yang berasa curiga.

Menurut Encik A, yang telah menggunakan nombor telefon itu sejak lebih 10 tahun, dia mendapat panggilan siang dan malam sehingga menjejas kehidupan seharian.

Panggilan yang diterimanya begitu banyak sekali sehingga menyebabkan telefon beliau mati kerana kehabisan bateri, kata Encik A, yang menambah dia perlu memadam lebih 4,000 nombor.

"Pada awalnya saya tak tahu mengapa, kemudian kawan saya beritahu bahawa nombor saya muncul di Squid Game," katanya.

Walaupun hanya ada lapan angka dalam nombor yang tertera, berbanding 10 atau 11 yang biasa, kru penerbitan membuat kesilapan kerana hanya memadam tiga angka pertama, iaitu kod kawasan bandar, dan bukan nombor pertengahan atau hujung.

Akibatnya, apabila seseorang menekan lapan nombor itu tanpa kod bandar, panggilan telefon akan tetap terhubung.

Netflix menyatakan ia sedang menghubungi Encik A dan bekerjasama dengan pasukan penerbit Siren Pictures, untuk leraikan isu itu.

Atas kesilapan tersebut, Netflix boleh didenda hingga 50 juta won (S$57,400).

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan