Images
  • upin & ipin
    (Petikan video: Les' Copaque/YouTube)

Siri animasi M'sia Upin & Ipin ditayangkan oleh Netflix Britain, Australia

KUALA LUMPUR: Program animasi popular, Upin & Ipin mencatat satu lagi sejarah apabila khidmat televisyen penstriman terkemuka, Netflix di Britain dan Australia mula menayangkan kisah kembar itu sebagai salah satu kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan, sejak 7 April.

Berkongsi mengenai apa yang disifatkan sebagai langkah besar bagi syarikat produksi Les' Copaque Production Sdn Bhd, Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karya Budi Mohd Aris, 39 tahun, memberitahu Berita Harian Malaysia, tawaran Netflix Britain dan Australia itu dianggap sebagai suatu pengiktirafan bahawa Upin & Ipin adalah karya bermutu.

"Kami bangga apabila Netflix UK dan Australia mahu menayangkan karya kami di platform mereka. Secara tidak langsung, ini membuktikan mutu kandungan kami dan petunjuk bahawa karya kami mencapai standard antarabangsa.

"Pada masa sama, ini menunjukkan penceritaan yang dipaparkan dalam Upin & Ipin boleh diterima pakai di mana-mana sahaja.

"Ini bererti kandungan kami bagus untuk dibawa ke luar negara. Biarpun Upin & Ipin adalah buatan Malaysia, ia boleh diterima di seluruh dunia," katanya kepada BH Online Malaysia.

Bagaimanapun, Encik Budi kurang pasti sama ada Upin & Ipin adalah karya animasi Malaysia yang pertama yang dipilih oleh platform penstriman itu.

"Saya tidak boleh katakan Upin & Ipin adalah animasi pertama yang ditayangkan di platform di dua negara terbabit.

"Kami tidak pasti sama ada pihak mereka ada mengambil karya animasi tempatan yang lain. Kami tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Tapi apabila pihak sana menerima kandungan kami, ia sudah membuatkan kami berbangga.

"Ini membuktikan bahawa hasil kerja kami bukan saja diterima di Malaysia, malah di luar negara," katanya, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia.

- Agensi berita/NK/nk

Top