Images
  • simplysiti
    Poster produk SimplySiti. (Gambar: Facebook/SimplySiti)

SimplySiti tembusi pasaran Indonesia pada separuh pertama 2017

SEPANG: SimplySiti Sdn Bhd yang diasaskan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berhasrat melebarkan sayapnya dengan menembusi pasaran kosmetik Indonesia menjelang separuh pertama 2017.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkata pihaknya kini dalam proses rundingan dengan beberapa pihak yang berpotensi menjadi rakan usaha sama di Indonesia.

Syarikat itu akan memanfaatkan populariti Siti Nurhaliza di negara jiran berkenaan dengan membuka cawangan di bandar utama, termasuk Jakarta sebagai lokasi pertamanya.

"Siti Nurhaliza akan turut mengadakan konsert besar-besaran di lima hingga enam bandar Indonesia pada tahun depan yang menjadi kesempatan terbaik untuk pelancaran produk SimplySiti kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kolaboratif antara SimplySiti dan AirAsia BIG Duty Free, hari ini (5 Sep).

Di bawah kerjasama itu, dua produk didatangkan dalam edisi khas iaitu bedak muka Simply Elegant 2-Way dan pengilat bibir Simply Elegant Lip Gloss Duo Edisi AirAsia, akan dijual dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X mulai 1 September, 2016.

Datuk Seri Khalid turut menyifatkan usaha kolaboratif dengan jenama global seperti AirAsia memberi peluang kepada syarikat berkenaan meninjau peluang di negara ASEAN lain selepas ini.

"Kami melihatnya sebagai kolaboratif baik kerana AirAsia mahupun Simply Siti memiliki asas pelanggan daripada kalangan berpendapatan sederhana yang mahu membeli produk berkualiti pada harga berpatutan," katanya.

Ketika ini, SimplySiti mencatat jualan tahunan antara RM30 juta dan RM40 juta dan ia menyasarkan untuk menggandakan angka itu menjelang tahun depan menerusi pengembangannya ke Indonesia.

Bagi pasaran tempatan, kata Datuk Seri Khalid, produk SimplySiti itu boleh dibeli di premis farmasi seperti Guardian dan Watsons.

"Kami juga merancang untuk membuka 10-15 cawangan butik menjelang akhir tahun ini," katanya.

- Bernama/nd

Top