Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Shuib akui sukar lalui kehidupan susuli pemergian Siti Sarah

Selebriti Shuib Sepahtu akui sukar lalui kehidupan selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah.

Anggaran Waktu Membaca:
Shuib akui sukar lalui kehidupan susuli pemergian Siti Sarah

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 09 Nov 2021 04:08PM Dikemas Kini : 09 Nov 2021 04:19PM

KUALA LUMPUR: Selebriti Shuib Sepahtu akui sukar lalui kehidupan selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah.

Sememangnya kehilangan insan yang tersayang cukup memeritkan, bagaikan hilang separuh nyawa apabila berdepan dengan satu kehilangan yang abadi.

Begitulah keadaan yang sedang dilalui oleh pelawak, pelakon dan usahawan berjaya Shuib yang kehilangan isteri tersayang, Siti Sarah Raissuddin, lebih dua bulan lalu.

Akuinya, kehilangan itu memberi impak besar, malah menerusi petikan Kosmo Online, Shuib menyatakan dirinya masih susah untuk melalui kehidupan sehariannya apatah lagi dengan statusnya sebagai bapa tunggal.

Shuib juga terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.

“Sehingga kini, saya tak akan bercerita dengan orang lain sekiranya ada masalah walaupun dengan mak atau mentua. Saya hanya boleh pergi ke pusara isteri dan berkongsi dengannya.

“Disebabkan hal itu juga, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang pernah menjaga Siti Sarah untuk memeriksa kesihatan tahap saya. Lebih kurang pakar psikiatri lah.

“Perjumpaan tersebut juga bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan baik sebab berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita,” ungkapnya yang turut menziarahi kubur Allahyarham Sarah setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasaannya.

AKTIVITI MENGAJI DAN SOLAT BERJEMAAH BANTU KESIHATAN MENTAL

Walaupun sukar mengharungi kehidupan, namun Shuib bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang sangat baik.

Dek aktiviti yang dilakukan seperti mengaji dan solat berjemaah, ia berhasil membantu mengawal emosinya.

“Syukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga keluarga kecil saya.

“Alhamdulillah sekarang ini kami sering buat aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi perkara seperti ini sangat membantu kesihatan mental saya,” sambung Shuib.

“DIA TAK ADA, TAK TAHU NAK RUJUK SIAPA"

Bagai hilang separuh nyawa apabila kehilangan isteri yang juga sumber kekuatan dirinya, luah Shuib.

Namun beliau akui kepada Mingguan Wanita bahawa selepas pemergian Allahyarham Sarah, bukan separuh namun dirinya berasakan hampir semuanya hilang.

“Bila dia tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hilang hampir semua.

“Kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk pada dia. Jadi bila dia tiada, saya tak tahu nak rujuk pada siapa,” luah bapa kepada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia tiga bulan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan