Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sheila On 7 batalkan persembahan di Riau akibat jerebu

Pihak pengurusan Sheila On 7 mengesahkan bahawa kumpulan muzik dari Yogyakarta itu membatalkan persembahan di Do Festival Music 2019 akibat jerebu kebakaran hutan dan tanah gambut di bandar Pekanbaru, Riau.

Anggaran Waktu Membaca:
Sheila On 7 batalkan persembahan di Riau akibat jerebu

(Gambar: Instagram/@sheilaon7)

Diterbitkan : 15 Sep 2019 12:28AM Dikemas Kini : 15 Sep 2019 12:33AM

PEKANBARU: Pihak pengurusan Sheila On 7 mengesahkan bahawa kumpulan muzik dari Yogyakarta itu membatalkan persembahan di Do Festival Music 2019 akibat jerebu kebakaran hutan dan tanah gambut di bandar Pekanbaru, Riau.

Ini dimaklumkan oleh pengurus dan pemain gitar bes Sheila On 7, Adam Muhammad Subarkah, ketika dihubungi ANTARA dari Pekanbaru pada Sabtu (14 Sep).

"Inilah keputusan saya, ya, jika Sheila On 7 perlu buat penampilan dalam keadaan seperti itu (berjerebu) tidak mungkin, dan ia dikategorikan sebagai force majeure," kata Adam menerusi perbualan di telefon.

Kugiran yang diasaskan oleh Duta (vokalis), Erros (gitar), Adam (bes) dan Brian (dram) sepatutnya dijadual menjadi persembahan utama di Festival Muzik Do 2019 di Pekanbaru pada Sabtu, 14 September 2019.

Bagaimanapun, satu catatan dimuat naik di akaun Instagram @sheilaon7, yang memohon maaf kerana tidak dapat mengambil bahagian dalam festival tersebut.

Catatan itu tidak menyebut secara terperinci punca pembatalan itu, hanya sekadar "dikarenakan adanya kondisi non teknis di Pekanbaru yang tidak memungkinkan" (atas sebab keadaan bukan teknikal di Pekanbaru yang tidak mengizinkan). Adam akhirnya mengesahkan bahawa keputusan itu adalah disebabkan oleh keadaan asap jerebu.

"Saya bertanya kepada mas, jika anda datang ke acara yang keadaannya (berjerebu) seperti itu, adakah anda mahu datang atau tidak?," Adam menyoal balik.

Beliau menegaskan bahawa hubungan antara pengurusan Sheila On 7 dan penganjur pesta itu kekal baik. Keputusan untuk membatalkan persembahan itu, tambah beliau, dibuat setelah kedua-dua pihak berbincang.

"Dari awal saya mencadangkan sebenarnya agar acara ditangguhkan, namun saya hanya boleh membuat cadangan. Jika acara itu diteruskan, ia adalah hak pihak penganjur. Akhirnya, keputusan saya adalah untuk Sheila On 7 tidak membuat penampilan dalam keadaan seperti itu yang tidak mengizinkan," kata Adam lagi.

Kode Group selaku penganjur Do Music Festival akhirnya memaklumkan menerusi Instagram bahawa acara itu dibatalkan, menukil jerebu sebagai puncanya.
Mengulas hal tersebut, Adam berkata bahawa keputusan itu adalah wajar. "Ia harus ditangguhkan," katanya.

Sementara itu, asap jerebu yang menyelubungi Pekanbaru semakin menebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Riau dan Jambi serta Sumatera Selatan. Mutu udara merosot sehingga mencecah tahap “berbahaya” untuk kesihatan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan