Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sheeda Dangdut seru artis muda sokong usaha kutip derma untuk Zaleha Hamid

Penyanyi dangdut legenda iaitu Zaleha Hamid masih lagi lemah terlantar sakit di rumahnya di Skudai Johor kini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sheeda Dangdut seru artis muda sokong usaha kutip derma untuk Zaleha Hamid

Sheeda Dangdut bersama Zaleha Hamid (baring). (Gambar: Sheeda Dangdut)

BERITAmediacorp: Penyanyi dangdut legenda iaitu Zaleha Hamid masih lagi lemah terlantar sakit di rumahnya di Skudai Johor kini.

Beliau yang seringkali disapa sebagai Mama atau Kak Leha diserang angin ahmar selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya pada 23 Disember 2019.

BERITAmediacorp difahamkan oleh seorang lagi artis dangdut iaitu Sheeda Dangdut bahawa suami Zaleha Hamid terpaksa berhenti kerja seketika sebagai pengawal keselamatan demi untuk menjaga penyanyi tersebut sepenuhnya. Sheeda baru-baru ini menjenguk Zaleha Hamid di rumahnya bersama rakan-rakan Syed Wafa dan Azmi Zahari.

Sheeda Dangdut dan Syed Wafa menziarahi Zaleha Hamid di kediamannya. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Sheeda Dangdut (tudung hitam) dan Syed Wafa menziarahi Zaleha Hamid di kediamannya. (Gambar: Sheeda Dangdut)

“Dalam kereta I kata pada Wafa, I nak sembunyikan perasaan I yang sedih, tak nak tunjuk tapi bila I nampak dia I tak boleh tahan sebab suami dia kata dia tak boleh bercakap, kadang dia tidak ingat. Tapi dia boleh sebut nama I. Itu yang I sebak,” kata Sheeda.

“Ada lain datang tapi dia tak ingat sampai balik. Dia sebut Sheeda dua kali dan dia menangis dulu. Sebab itu I menangis.”

SHEEDA NYANYI UNTUK ZALEHA HAMID HINGGA DIMINTA BERHENTI…

Zaleha Hamid pernah popular menerusi lagu-lagu Dangdut Raggae, Kerana Pengalaman, Jangan Segan-Segan dan Jangan Kau Tangiskan dengan lontaran suaranya yang penuh bertenaga. Namun kini angin ahmar itu menjejas keupayahan Zaleha untuk bercakap dan beliau hanya terbaring lemah sahaja.

Penyanyi Zaleha Hamid. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Penyanyi Zaleha Hamid. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Dalam lawatan selama satu jam itu, Sheeda menyanyikan lagu Zaleha Hamid tetapi ia membuat Zaleha menangis sahaja sehingga suami kepada Zaleha meminta Sheeda untuk berhenti menyanyikan lagu Zaleha.

Sheeda yang memanggil Zaleha bonda sejak dari dahulu lagi berkongsi bahawa penyakit itu menjejas bahagian kiri badan Zaleha. Susu khas disalurkan melalui tiub saja kini agar Zaleha tidak lapar.

Sheeda Dangdut bersama Dato Azmi menziarahi Zaleha Hamid di kediamannya. (Gambar: Sheeda Dandgdut)

Sheeda Dangdut bersama Dato Azmi menziarahi Zaleha Hamid di kediamannya. (Gambar: Sheeda Dandgdut)

“I tanyalah siapa yang datang melawat sebab dia ada bagi nombor akaun bank. Tapi tak setakat mana pun duit yang masuk ke akaun tu .Kalau ada pun lebih kurang. Dia perlukan bantuan berterusan sementara dia masih lagi dalam keadaan macam ini sebab rumah pun rumah sewa,” kata Sheeda.

KONSERT MALAM AMAL ZALEHA HAMID

Prihatin dengan situasi sedemikian, Sheeda Dangdut bersama Azmi dengan dibantu oleh penganjur acara popular Syed Wafa nekad menganjurkan satu acara makan malam amal yang diberi nama Konsert Malam Amal Zaleha Hamid pada 11 April 2020 ini bertempat di Kafe In The Farm, Kg Teluk Gong, Kuala Sungai Baru, Melaka.

Sheeda Dangdut. (Gambar: Sheeda Dangdut)

(Gambar: Sheeda Dangdut)

Sasaran mereka adalah untuk menjual tiket-tiket berharga RM350 untuk satu meja. Ia akan diserikan dengan acara hiburan oleh artis-artis Sheeda sendiri, Siti Fairuz, J Sham, Reena Eva, Karl Lejen, Khaty Azian, NAS kilauan Emas, Ejik The Magic. Sasaran mereka adalah untuk menjual sejumlah 100 meja bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Zaleha Hamid.

Penyanyi J.Sham. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Penyanyi J.Sham. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Artis-artis dijangkakan membawakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Zaleha Hamid sebelum ini.

Mengapa pilih lokasi Melaka untuk acara tersebut tanya penulis kepada Sheeda Dangdut?

“Kebetulan bila kita bincang ada seorang hamba Allah ini bagi kita guna tempat dia. Zaleha Hamid tinggal di JB jadi kita sasar bawa kak Leha dengan ambulans pada malam itu. Takut dia tak larat,” jelasnya.

ARTIS BARU & POPULAR DIMINTA BANTU

Menerusi temu bual kami bersamanya, beliau turut menyeru agar ada juga artis-artis baru dan popular menyokong usaha mereka itu. Sambungnya: “Saya yakin artis-artis baru dan popular mempunyai pengikut yang tinggi. Kalau tarikh itu mereka tak free, jika mereka kongsi di Instagram mereka sekurang-kurangnya sasaran kita untuk jual 100 meja itu boleh penuh.”

Apakah benar artis-artis baru dan popular kurang sertai acara amal berbentuk sedemikian. Ini jawapan Sheeda Dangdut dengan tenang: “Itu terpulang pada dia. Itu adalah saham akhirat esok-esoklah. Saya berharap sangat supaya mereka turun padang sebab saya tahu mereka ini dermawan. Mereka berduit dan boleh bantu kalau mereka nak. Kalau mereka tidak mahu, kita tak boleh paksa mereka.”

Sheeda Dangdut. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Sheeda Dangdut. (Gambar: Sheeda Dangdut)

Namun sekiranya ada artis yang tidak menyokong usaha murni mereka itu, Sheeda akan merasa sedih juga.

“Suatu hari nanti dia akan duduk di tempat Zaleha Hamid. Jangan ingat mereka muda sentiasa. Kadang yang muda pun kalau satu hari Allah uji pun kita tak tahu kan? Silap hari bulan orang-orang lama macam kita yang akan bantu mereka. Kalau satu persembahan mereka dapat RM5,000 hingga RM6,000 dan mereka keluarkan RM350 untuk zakat mereka. Terpulang,” jelasnya panjang lebar.

HARAP PEMINAT DARI S’PURA DATANG SOKONG

Selain itu, beliau turut berharap agar peminat-peminat Zaleha Hamid dari Singapura akan terbuka hati untuk menyokong acara tersebut memandangkan Zaleha masih mempunyai ramai peminat dari Singapura.

“Satu meja berharga RM350 untuk 10 orang bukan mahal pun,” katanya mengakhiri temu bual ini.
Tiket berharga RM35 boleh juga dibeli oleh individu. Sheeda Dangdut boleh dihubungi di talian +6 010 900 3765 untuk tempahan meja bagi cara tersebut.

Namun demikian dek gejala COVID-19 sekarang dan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, tarikh konsert mungkin perlu ditukar jika ada perkembangan baru, menurut Sheeda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan