Images
  • Sharnaaz Nabila
    Sharnaaz Ahmad bersama isteri, Noor Nabila. (Gambar: @marshamilan/Instagram)

Sharnaaz, Noor Nabila diarah lantik wakil Jawatankuasa Pendamai dalam kes perceraian

KUALA LUMPUR: Pelakon Malaysia, Sharnaaz Ahmad, dan isterinya, Noor Nabila, diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini (11 Sep) supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34 tahun, dan Noor Nabila Mohd Noor, juga 34 tahun, supaya berbuat demikian selepas pelakon itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai isterinya.

Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu.

Dalam proses perceraian, JKP -terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan - dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.


Sebelum ini, Sharnaaz yang diwakili peguam Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim sama ada beliau sudah melihat tuntutan yang diserahkan oleh Noor Nabila pada 29 Ogos lalu, menjawab "ya”.

Apbaila ditanya hakim lagi adakah beliau setuju dengan tuntutan yang dikemukakan isterinya itu, pelakon berkenaan menjawab “tidak setuju”.

Noor Nabila dalam tuntutan perceraiannya mengemukakan alasan, antara lain, tiada persefahaman dan mereka tinggal berasingan sejak Februari 2018. Alasan lain adalah Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 (S$165) sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.

Noor Nabila, yang berpakaian serba hitam semasa memfailkan tuntutannya, juga berkata langkah-langkah sudahpun diambil untuk mencapai pendamaian termasuk perbincangan namun gagal menemui jalan penyelesaian.

Beliau berkata Sharnaaz selaku defendan berterusan dengan sikapnya serta terdapat perbincangan melalui keluarga bagaimanapun, ia juga tidak berjaya.

Peguam syarie Azmi Mohd Rais, yang mewakili Noor Nabila, kemudian memohon supaya pihak defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana dalam media sosialnya, defendan menyatakan sebaliknya.

Bagaimanapun, Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz dan mahkamah menetapkan 30 September untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka.


Sharnaaz dan Noor Nabila, yang merupakan kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa, mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden Ahmad, yang kini berusia setahun.

- BERNAMA/FZ/fz

Top