Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sharifah Amani diundang ke S'pura sebagai pengadil anugerah filem belia NYFA

Namanya tidak asing lagi dalam industri perfileman di Malaysia. Buat pertama kalinya pelakon dan pengarah Sharifah Amani diundang ke Singapura sebagai salah seorang penilai Anugerah Filem Belia Kebangsaan (NYFA).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Namanya tidak asing lagi dalam industri perfileman di Malaysia.

Buat pertama kalinya pelakon dan pengarah Sharifah Amani diundang ke Singapura sebagai salah seorang penilai Anugerah Filem Belia Kebangsaan (NYFA).

BERITAmediacorp bertemu dengannya baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan beliau tentang potensi bakat muda industri perfileman Singapura.

PERTANDINGAN NYFA LEBIH SENGIT TAHUN INI

Tahun ini masuk tahun kelima NYFA menganjurkan pertandingan filem pendek bagi golongan bawah 35 tahun untuk menonjolkan bakat mereka.

Setiap tahun, pertandingan tersebut memaparkan pelbagai kisah, antaranya kisah-kisah terpendam orang kebanyakan Singapura yang turut menyentuh persoalan-persoalan sensitif.

Tahun ini, NYFA kembali dengan persaingan lebih sengit.

Daripada 446 penyertaan yang diterima, 303 daripadanya dihasilkan oleh anak-anak muda yang mempunyai kemahiran dan latihan dalam bidang media.

FILEM SATU CERMINAN MASYARAKAT

Selaras peningkatan mutu filem, NYFA terpanggil mengundang pelakon dan pengarah muda berbakat besar dari seberang, Sharifah Amani.

Beliau menyertai barisan penilai tanahair berkaliber terdiri daripada para penggiat dan pengamal industri filem.

"Bila NYFA mengundang saya, saya rasa teruja sangat kerana saya agak tahu atau agak selesa dengan filem-filem Malaysia, filem pendek orang muda Malaysia. Oleh itu saya dah biasa tengok dan saya tahu cerita mereka, saya tahu hati mereka.

"Sekarang ini saya nak tahu hati dan cerita hati orang muda Singapura dan saya dapat sedikit sebanyak mengenali kehidupan mereka," kongsi Sharifah Amani, 33 tahun yang sudah menerbitkan empat filem.

(Gambar ihsan: NYFA)

(Gambar: NYFA)

Antara filem yang diarahnya adalah 5 Minit (2018), Hawa (2013), Kampung Bangsar (2012) dan Sangkar (2010).

Pelakon yang juga terkenal dengan watak "Orked" dalam filem Sepet dan Gubra, beliau percaya filem-filem yang dinilainya itu mampu pergi jauh mengjangkaui Asia Tenggara - malah ke peringkat antarabangsa.

Ini selepas beliau melihat karya filem golongan belia yang terbuka membincangkan isu-isu dihadapi masyarakat.

Beliau juga percaya bahawa filem merupakan satu wadah penting dalam mengetengahkan isu sosial di saat wadah lain tidak memberikan kesempatan yang serupa.

"Saya rasa platform untuk orang-orang muda sangat penting kerana ini bahasa orang muda sekarang iaitu video, di situ mereka meluahkan perasaan mereka, di situ mereka berbahas dengan seluruh dunia, jadi kita kena memberikan perhatian, kita kena tengok filem mereka dan kita kena sensitif dengan persoalan mereka pada masyarakat," kongsinya.

Ini termasuk karya anak-anak muda Singapura dalam bahasa Melayu yang sangat dekat di hatinya.

"Saya suka, dahulu kita negara yang sama tapi kerana perpisahan, membuatkan kita tiba-tiba jadi begitu lain tapi serupa pada masa yang sama.

"Untuk saya, sebagai seorang warga Malaysia, untuk duduk dan bercakap atau tengok cerita-cerita orang-orang kita dan bahasa kita tapi di Singapura. Seronok. Benda itu seronok sangat," tambahnya.

Majlis penyampaian NYFA berlangsung pada 31 Ogos nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan