Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sezairi Sezali kini bergelar mentor bagi The Great S'pore Replay

 Program bagi mengasah bakat dan memberi inspirasi kepada pemuzik muda di Singapura, The Great Singapore Replay (TGSR), kembali buat musim kedua tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Program bagi mengasah bakat dan memberi inspirasi kepada pemuzik muda di Singapura, The Great Singapore Replay (TGSR), kembali buat musim kedua tahun ini.

Dianjurkan oleh syarikat pelaburan Temasek, TGSR bermatlamat untuk menyerlahkan bakat baru dari segi warisan muzik dan kolaborasi antara artis mapan dengan bakat baru untuk mencipta lagu mereka sendiri.

Melalui program selama 16 minggu itu, 10 bakat baru akan dipilih akan menerbitkan lagu mereka sendiri di bawah bimbingan 5 artis mapan tanah air iaitu Sezairi Sezali, Joanna Dong, Kelly Pan, Shabir dan Charlie Lim.

TGSR WADAH CUNGKIL, ASAH BAKAT

Lebih daripada setakat pemuzik, pengalaman Sezairi Sezali yang lebih sedekad dalam bidang muzik dilihat sebagai penting bagi TGSR.

Sejak menjuarai Singapore Idol 10 tahun lalu, beliau sudah mengalami sendiri pahit manis dan suka duka seorang artis. Lagu-lagu beliau juga sudah menjangkaui Singapura, merentasi sempadan hingga ke Taiwan, Hong Kong, Filipina dan Indonesia.

Lagunya 'Fire to the Floor' pula mengungguli carta Spotify, seminggu selepas ia dilancarkan. Beliau juga mempunyai lebih 400,000 pendengar di Spotify.

"Ia adalah evolusi yang semula jadi kerana dalam 10 tahun ini memang saya sangat bertuah. Saya lihat peluang ini sebagai satu pembangunan diri juga sebab saya percaya sebagai artis, kita bukan hanya boleh belajar daripada orang yang berpengalaman tetapi juga daripada orang yang tak berpengalaman sebab lebih yang kita berkongsi dgn mereka, lebih yang kita pelajari tentang diri kita sendiri," ujar beliau.

Penyanyi lagu Pop dan R&B itu juga berpendapat bahawa landskap hiburan sudah berubah sejak beliau berjinak-jinak sebagai seorang artis sedekad yang lalu.

Terharu menjadi antara artis mapan bagi program ini, beliau yakin TGSR boleh dijadikan sebagai satu wadah untuk memperkayakan lagi industri tersebut di Singapura.

Menurut beliau: "Harapan saya untuk mereka dan saya bersama-sama menilai keadaan dengan artis-artis baru dan melihat bagaimana kita boleh menolong mereka dengan apa yang kita ada sekarang."

NASIHAT UNTUK ARTIS-ARTIS BARU

Sebagai penggiat muzik yang berpengalaman, beliau merasakan bahawa asas yang teguh harus dijadikan keutamaan oleh setiap anak seni.

"Bagi saya, jangan terlalu terpengaruh dengan kamera dan populariti, jangan terlalu terpengaruh dengan kata-kata orang. Jadi, pentingkan latihan, pentingkan kesenian, pentingkan kreativiti," kata beliau.

TGSR JANJIKAN LAGU-LAGU MENARIK

10 peserta yang dipilih itu akan menjalani bengkel penulisan lagu, susunan muzik dan rakaman lagu. Selain daripada itu, mereka juga akan mendapat sokongan pemasaran dan penciptaan jenama mereka tersendiri, serta berpeluang mengikat kontrak dengan syarikat Sony Music, Universal Music Group dan Warner Music.

Lagu-lagu yang diterbitkan akan diilhamkan daripada lagu-lagu berbeza dari lima era ikonik Singapura dan lima genre muzik moden termasuk Pop, Urban, Elektronik, Jazz dan Indie.

Kesemua bakat yang ditampilkan akan mempersembahkan lagu-lagu terbitan mereka sendiri di Taman di Pesisiran pada awal tahun depan.

Bagi yang berminat, mereka boleh menyertai program itu dengan mendaftarkan diri melalui sesi 'Open Call' yang dijadual berakhir pada 20 Oktober.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai TGSR, sila lungsuri laman thegreatsingaporereplay.sg 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan