Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Seruan pulaukan filem Mulan makin lantang susuli adegan dirakam di Xinjiang

Filem buatan semula Mulan, berdepan dengan ancaman boikot baru setelah beberapa adegan filem Disney itu didapati dirakam di Xinjiang, China, di mana pencabulan hak asasi manusia  dilakukan secara meluas terhadap penduduk Muslim di wilayah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Seruan pulaukan filem Mulan makin lantang susuli adegan dirakam di Xinjiang

Orang ramai membeli tiket untuk filem Mulan di Bangkok pada 8 Sep 2020 (Gambar: AFP/Lillian Suwanrumpha)

Diterbitkan : 08 Sep 2020 11:46PM Dikemas Kini : 09 Sep 2020 12:04AM

BEIJING: Filem buatan semula Mulan, berdepan dengan ancaman boikot baru setelah beberapa adegan filem Disney itu didapati dirakam di Xinjiang, China, di mana pencabulan hak asasi manusia dilakukan secara meluas terhadap penduduk Muslim di wilayah itu.

Filem gah yang menelan belanja AS$200 juta (S$273.89 juta) itu mengisahkan tentang seorang pahlawan wanita legenda China dan sebelum ini terpalit dalam kontroversi politik setelah bintangnya Liu Yifei menyuarakan sokongan terhadap polis Hong Kong yang mengambil tindakan keras ke atas penunjuk perasaan tahun lalu.

Kontroversi terbaru tercetus sejurus sahaja senarai nama pada hujung filem itu ditonton apabila filem tersebut mula ditayangkan di saluran Disney + minggu lalu.

Penonton melihat Disney menzahirkan "terima kasih istimewa" kepada lapan badan pemerintah di Xinjiang - termasuk biro keselamatan awam di Turpan, sebuah bandar di timur Xinjiang di mana banyak kem tahanan dilaporkan.

Satu lagi badan yang menerima penghargaan adalah jabatan propaganda Parti Komunis China di Xinjiang.

Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan baru berhubung kesanggupan Hollywood untuk tunduk kepada kehendak China.

Kumpulan-kumpulan hak asasi, cendekiawan dan wartawan mendedahkan tindakan keras terhadap penduduk Muslim Uighur dan Kazakh di Xinjiang, termasuk penahanan beramai-ramai, pemandulan secara paksa, buruh paksa serta sekatan agama dan pergerakan yang ketat.

Seorang penggiat seni warga China yang menetap di Melbourne, Baduicao, menuduh Disney bersikap hipokrit, dengan mendakap gerakan sosial barat seperti MeToo dan Black Lives Matter, sementara menutup mata terhadap pencabulan hak asasi di China.

Pada Ogos, kumpulan anti penapisan Pen America menerbitkan laporan yang mendakwa bahawa penulis skrip, penerbit dan pengarah sering menukar skrip, memadam adegan dan mengubah kandungan untuk elak menyinggung pihak penapis China.

Lebih teruk lagi, penerbit filem mengelak sepenuhnya isu-isu sensitif termasuk politik Tibet, Taiwan, Hong Kong, Xinjiang dan penampilan watak LGBTQ, menurut laporan itu.

AFP menghubungi Disney untuk meminta ulasannya namun belum mendapat jawapan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan