Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Seniman 1960-an S. Rosley meninggal dunia akibat serangan jantung

Seniman filem Melayu pada tahun 1960-an, S. Rosley menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 74 tahun sekitar 1.40 pagi hari ini (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Seniman 1960-an S. Rosley meninggal dunia akibat serangan jantung

Allahyarham S. Rosley bersama anak lelaki bongsunya, Fido Ahdross. (Gambar: Fido Ahdross Alqadry/ Facebook)

BERITAMediacorp: Seniman filem Melayu pada tahun 1960-an, S. Rosley menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 74 tahun sekitar 1.40 pagi hari ini (25 Jan).

Allahyarham rebah di bawah kolong blok sebelum meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH) akibat Penginfarkan Miokardium Akut atau serangan jantung pada awal pagi tadi.

Demikian menurut anaknya, pelakon dan penyanyi tempatan Fido Ahdross, 34 tahun, ketika dihubungi BERITAMediacorp.

Allahyarham yang popular menerusi filem Anak Buluh Betong, juga pernah menjalani pembedahan pintasan beberapa tahun lalu. Beliau juga terpaksa menggunakan alat perentak jantung sekitar tiga bulan lalu disebabkan jantung yang lemah dan tidak berdegup secara konsisten.

(Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: BERITAMediacorp)

Menurut Fido, arwah bapanya tidak menunjukkan sebarang simptom yang ketara sebelum pemergiannya.

“Saya sering menghantarnya menjalani pemeriksaan hospital dan turut menjaga ubat-ubatannya. Tetapi pada malam semalam, saya sedang bekerja dan bateri telefon saya mati. Saya hanya menerima pesanan dan panggilan yang tidak terjawab sejurus saya pulang dan saya benar-benar terkejut,” katanya.

“Memang saya tidak menjangkakan pemergiannya, kerana beliau kelihatan normal, meskipun mengalami tekanan darah tinggi dan jantung yang lemah.

“Cuma, beliau turut mengalami penyakit kuning, kaki dan muka yang bengkak serta hilang selera makan sejak menggunakan alat perentak jantung itu,” katanya.

Fido, yang tinggal serumah bersama ayahnya, memberitahu BERITAMediacorp bahawa abangnya Ruziq Ahdross, 37 tahun, turut cuba memberikan bantuan pernafasan sejurus selepas ayahnya rebah di kolong blok.

AYAH SUMBER INSPIRASI DAN MOTIVASI

Malah, pemergian Allahyarham S. Rosley atau nama sebenarnya Syed Ahdross Syed Ahmad, jelas merupakan satu kehilangan yang besar bagi Fido dan keluarganya.

(Gambar: Petikan skrin di Youtube)

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

“Saya banyak berkongsi masalah dengan beliau. Ayah saya adalah sumber inspirasi, motivasi dan kekuatan saya. Siapalah diri saya tanpanya. Segala yang saya kecapi dalam industri adalah atas bimbingannya,” kongsinya.

“Dan, meskipun saya tidak dapat berada di sampingnya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir, saya tidak menyesali apa-apa. Saya sudah memberikan komitmen untuk menjaganya dan saya anggap ini adalah ketentuanNya,” jelas Fido kepada BERITAMediacorp.

Allahyarham S. Rosley pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon Fauziah Zie tetapi mereka mengambil keputusan untuk berpisah sekitar 20 tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan selepas zuhur hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan