Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Selebriti rancangan realiti TV M'sia didakwa rogol

Polis menahan seorang selebriti lelaki sebuah rancangan realiti televisyen ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi memberi keterangan berhubung dakwaan merogol seorang wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Selebriti rancangan realiti TV M'sia didakwa rogol

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 10:12AM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 10:14AM

SHAH ALAM: Polis menahan seorang selebriti lelaki sebuah rancangan realiti televisyen ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi memberi keterangan berhubung dakwaan merogol seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, penangkapan itu dibuat menyusuli satu aduan dibuat oleh mangsa berusia 23 tahun itu pada Rabu lalu mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, wanita tersebut mengenali suspek berumur 25 tahun itu menerusi laman sosial Instagram dan mereka telah berjumpa pada 11 Sep 2019 sekitar pukul 8.00 malam untuk berbincang mengenai kaedah perubatan Islam bagi merawat masalah kemurungan dihadapi mangsa.

“Suspek telah membawa mangsa makan di satu kedai di sekitar Batu 3 Shah Alam, sebelum membawa wanita itu ke rumahnya di satu unit kondominium di Seksyen 7, dengan alasan untuk memberi penerangan bagaimana boleh keluar daripada masalah kemurungan.

“Semasa di kediaman tersebut, mangsa telah dirogol suspek. Keesokan harinya (12 Sep 2019) sekitar pukul 6.40 pagi, selebriti berkenaan memberi amaran kepada wanita itu supaya merahsiakan mengenai kejadian terbabit dan menghantarnya ke lobi kondominium untuk mangsa pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya, menaiki kenderaan e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (27 Nov).

ACP Baharudin berkata menyusuli kejadian itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Kajang pada 23 Sep 2019 kerana mengalami tekanan perasaan yang teruk, serta dirujuk untuk rawatan psikiatri.

Kata beliau, mangsa kemudiannya pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang pada Okt 2019 dan menyambung rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Mangsa ditahan di wad psikiatri selama lima hari. Pihak hospital itu juga mengatakan wanita berkenaan mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat insiden tersebut. Sehingga aduan polis dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital berkenaan,” katanya.

ACP Baharudin berkata kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan