Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sejarah tercipta: Hady Mirza & Naqiu juarai Gegar Vaganza 6, Hady juara pertama dari S'pura

Sejarah baru tercipta apabila penyanyi Singapura Hady Mirza dan penyanyi Malaysia Naqiu Boboy dinobatkan sebagai juara bersama Gegar Vaganza 6 (GV6) malam tadi (22 Dis) setelah mereka sama-sama berjaya menambat hati juri dengan persembahan-persembahan yang memukau.

Anggaran Waktu Membaca:
Sejarah tercipta: Hady Mirza & Naqiu juarai Gegar Vaganza 6, Hady juara pertama dari S'pura

Hady Mirza (kiri) dan Naqiu Boboy juara bersama Gegar Vaganza 6. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

SHAH ALAM: Sejarah baru tercipta apabila penyanyi Singapura Hady Mirza dan penyanyi Malaysia Naqiu Boboy dinobatkan sebagai juara bersama Gegar Vaganza 6 (GV6) malam tadi (22 Dis) setelah mereka sama-sama berjaya menambat hati juri dengan persembahan-persembahan yang memukau.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Gegar Vaganza, mahkota GV dipegang oleh dua orang penyanyi sekali gus, dengan masing-masing meraih markah 87 peratus.

Dengan kemenangan itu, Hady dan Naqiu masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 (S$32,730) dan trofi kemenangan. Antara lain, mereka juga memenangi pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah.

Naqiu diiringi dua hos GV2019 ketika mendengarkan ulasan para juri selepas membuat persembahan. (Gambar: thisisnaqiu/Instagram)

Ia juga mengakhiri ‘kemarau’ juara lelaki sejak musim pertama Gegar Vaganza, yang dimenangi Ayai Ilusi.

Ketua juri Ramli M.S. menyifatkan pemilihan juara GV kali ini sebagai “sukar”.

“Memang dua-dua bagus kerana nilai (peratusan markah) sama. Takkan nak tambah lagi satu lagu?

“Tak boleh ambil Naqiu atau Hady sebab mereka setara. Tiada sebarang masalah dengan dua juara,” jelas beliau.

Hady Mirza dan Naqiu bersama juri. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

(Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Kemenangan ini turut bermakna ia merupakan pertandingan menyanyi ketiga Hady menangi dalam kerjayanya selepas Singapore Idol (2006) dan Asian Idol (2007).

Hady, 39 tahun, berhasil menawan hati para juri melalui lagu solo Ku Bersuara dan lagu ‘battle’ Haa Tepok bersama Naqiu, nyanyian asal Meerfly Ft MK & Kidd Santhe. Lagu Ku Bersuara itu adalah dendangan asal penyanyi Ernie Zakri dan boleh dikatakan agak mencabar.

Juri tetap Ramli M.S. menyifatkan persembahan Hady sebagai “sangat baik”. Seorang lagi juri tetap Hetty Koes Endang yang turut memberi tepukan berdiri kepada Hady, berkata beliau menyanyikan lagu Ku Bersuara dengan “top” atau terbaik.

Juri jemputan pereka fesyen Rizalman pula mengulas gabungan Hady dengan para penari dalam persembahannya sebagai “begitu memukau”.

Hady turut meraih gelaran Bintang Cuckoo Paling Gempak dengan 60 peratus undian online bagi persembahan separuh akhir dan memenangi penapis air beralkali ringan Cuckoo Prince Top bernilai RM4,800 (S$1,570).

Hady sebelum ini pernah menjadi juara mingguan sebanyak tiga kali dan mendapat gelaran Artis Cili Padi Paling Power dua kali. Setiap gelaran Artis Cili Padi Paling Power membawa bersamanya hadiah wang tunai RM3,000 (S$980) – bermakna Hady sudah merangkul RM6,000 (S$1,960) dalam kategori itu.

Naqiu pula dalam lagu solo beliau menonjolkan kehebatannya memetik gitar bagi lagu Srikandi Cintaku oleh Bloodshed.

Seorang lagi ‘wakil’ dari Singapura, Jatt, mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 (S$9,820). Beliau memikat hati juri dan penonton dengan lontaran suara yang baik bagi lagu Without You oleh Air Supply dan gaya ‘comel’ semasa lagu ‘battle’ Angguk Angguk Geleng Geleng bersama Sham Visa.

Finalis Gegar Vaganza 6. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

(Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Nurfatima menduduki tempat keempat, One Nation Emcees berada di tangga kelima dan Sham Visa corot di tangga keenam.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20,000 (S$6,550), RM15,000 (S$4,910) dan RM10,000 (S$3,270) beserta trofi.

Konsert akhir tersebut berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan