Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Scarlett Johansson saman Disney berhubung penstriman filem Black Widow

Scarlett Johansson, bintang filem adiwira Marvel, Black Widow, menyaman Walt Disney Co pada Khamis (29 Jul). Beliau menuduh bahawa syarikat itu melanggar kontraknya apabila ia menawarkan filem itu dalam wadah penstriman secara serentak dengan pelancarannya di pawagam.

Anggaran Waktu Membaca:
Scarlett Johansson saman Disney berhubung penstriman filem Black Widow

(Gambar: Marvel Studios-Disney via AP)

Diterbitkan : 30 Jul 2021 03:22PM Dikemas Kini : 30 Jul 2021 03:24PM

LOS ANGELES: Scarlett Johansson, bintang filem adiwira Marvel, Black Widow, menyaman Walt Disney Co pada Khamis (29 Jul). Beliau menuduh bahawa syarikat itu melanggar kontraknya apabila ia menawarkan filem itu dalam wadah penstriman secara serentak dengan pelancarannya di pawagam.

Disney menyatakan "tiada asas" bagi tuntutan tersebut, dengan menegaskan pihaknya sudah mematuhi kontrak. Ia menambah dalam satu kenyataan bahawa pelancaran filem itu di wadah penstrimannya "meningkatkan dengan ketara keupayaan (Johansson) untuk meraih imbalan tambahan melebihi A$20 juta (S$27.1 juta) yang diterima setakat ini".

Aduan Johansson, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles, menyatakan bahawa strategi pelancaran serentak bagi filem Black Widow mengurangkan pendapatan beliau, yang sebahagiannya bergantung kepada pungutan panggung wayang daripada apa yang seharusnya menjadi tayangan eksklusif di pawagam.

Black Widow dilancarkan pada 9 Julai di pawagam dan dengan bayaran tambahan AS$30 (S$38.98) untuk ditonton menerusi khidmat penstriman Disney+. Disney sedang menguji cara hibrid bagi beberapa filem semasa pandemik koronavirus sedang syarikat itu berusaha mengembangkan khidmat penstrimannya sementara banyak pawagam di seluruh dunia ditutup.

Tuntutan Johansson mendakwa bahawa Disney ingin mengalihkan penonton ke wadah Disney+, "di mana ia (syarikat itu) dapat mengaut pendapatan untuk pihaknya sendiri dan pada masa yang sama terus meluaskan pangkalan pelanggan Disney+. Ia adalah cara yang terbukti menaikkan harga saham Disney".

"Kedua, Disney ingin mengurangkan dengan ketara nilai perjanjian dengan Cik Johansson dan dengan itu memperkayakan pihaknya sendiri," menurut tuntutan itu.

Saman tersebut menuntut ganti rugi yang tidak didedahkan yang akan ditentukan semasa perbicaraan.

Keputusannya boleh membawa kesan yang besar di Hollywood ketika syarikat-syarikat media berusaha membangunkan khidmat penstriman masing-masing dengan menawarkan rancangan-rancangan premium untuk memikat pelanggan.

Kenyataan Disney menambah bahawa tuntutan itu "sangat menyedihkan dan membimbangkan kerana tidak menghiraukan kesan global yang mengerikan dan berpanjangan akibat pandemik COVID-19".

Black Widow, kisah pembunuh upahan Rusia yang menjadi anggota Avenger, memperoleh AS$80 juta (S$108.2 juta) di pawagam Amerika Syarikat dan Kanada pada hujung minggu pertamanya. Filem itu juga menjana AS$60 juta (S$81.2 juta) melalui pembelian Disney+, menurut Disney.

Johansson menjayakan watak itu dalam sembilan filem Marvel.

Studio filem lain termasuk Warner Bros AT&T Inc sudah merundingkan bayaran kepada para pelakon dan pihak lain yang terlibat dalam filem yang pada asalnya dirancang untuk ditayangkan di pawagam sahaja tetapi akhirnya ditawarkan juga di wadah penstriman di tengah-tengah pandemik koronavirus.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan