Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

"Saya tidak dera anak", suami Ziana Zain didakwa cederakan anak

Suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini (6 Mac), atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya tidak dera anak", suami Ziana Zain didakwa cederakan anak
Diterbitkan : 06 Mar 2018 03:01PM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 03:16PM

SHAH ALAM: Suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini (6 Mac), atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.

Armin, 53 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Armin yang kini tidak bekerja didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas seorang anaknya dengan menggunakan rotan, menurut laporan Berita Harian Malaysia.

Perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Denai Alam, pada jam 4.00 pagi, 25 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu.

Isterinya, Ziana, bagaimanapun tidak hadir di prosiding mahkamah hari ini, menurut Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, Armin ketika mengemukakan rayuan, memaklumkan perbuatan itu dilakukan dengan tujuan mengajar anaknya itu mengaji dan bersolat.

"Saya tidak dera anak. Saya ajar dia mengaji dan solat, tetapi dia tidak faham dan bebal.

"Saya bertanggungjawab terhadap empat anak selain mempunyai emak yang sakit dan perlu menghantarnya ke hospital," katanya.

Raja Noor Adilla kemudiannya menurunkan jumlah jaminan dari RM10,000 (S$3,380) kepada RM5,000 (S$1,690) dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, bekas pramugara itu tidak mempunyai penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi dan kes disebut semula 4 April ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis itu dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan pada Jumaat lalu (2 Mac), lapor Berita Harian Malaysia.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19 tahun, Muhammad Ammar, 14 tahun, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun.

Sumber : Bernama/NK/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan