Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sanisah Huri adakan konsert solo 19 April ini - pertama kali dalam kerjaya seninya

Buat pertama kalinya dalam kerjaya seni beliau sejak 52 tahun lalu, biduanita Sanisah Huri akan mengadakan sebuah konsert solo besar-besaran, pada April ini. Konsert penyanyi legenda itu akan berlangsung di Panggung Capitol - yang boleh memuatkan 1,000 penonton.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya dalam kerjaya seni beliau sejak 52 tahun lalu, biduanita Sanisah Huri akan mengadakan sebuah konsert solo besar-besaran, pada April ini.

Para penonton konsert eksklusif itu juga dijangka dapat mendengar dari mulut Sanisah Huri sendiri, kisah-kisah hidupnya yang selama ini menjadi tanda tanya.

Konsert penyanyi legenda itu akan berlangsung di Panggung Capitol - yang boleh memuatkan 1,000 penonton - pada 19 April ini.

Suara yang merdu, keperibadiannya pula memikat.

Biduanita kegemaran ramai, Sanisah Huri, kembali untuk mengubat rindu peminat-peminatnya dari seluruh rantau Melayu ini.

Meskipun agak lama hilang daripada pandangan, lagu-lagunya tetap menjadi siulan ramai dan didengari di corong-corong radio mahupun televisyen.

Bukan sahaja dalam kalangan generasi perintis malah golongan milenial juga kian tertarik untuk mengenali siapa sebenarnya Sanisah Huri, mempunyai banyak lagu malar segar seperti Sejakku Bertemu Padamu serta lagu-lagu Hari Raya berjudul Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri.

Terharu dengan sokongan para peminatnya, salah seorang legenda zaman Pop Yeh Yeh dengan imej bersih ini mahu memberi penghargaan istimewa buat mereka.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Konsert ini begitu eksklusif kerana ia bakal menjadi konsert pertama sejak penyanyi legenda Singapura ini sejak menceburi persada seni pada tahun 1967 ketika beliau berusia 15 tahun.

Lebih manis lagi, Sanisah Huri mengumumkan khabar baik itu pada hari jadinya yang jatuh pada hari ini.

Apa pengertian konserti ini bagi penyanyi yang kelihatan awet muda itu dan semestinya persoalan yang lebih penting lagi, mengapa baru sekarang beliau mengadakan konsert solo?

"Bermaknalah pada saya ini. Sekian lama ini saya menyanyi, tidak pernah ada orang yang memanggil saya untuk buat konsert. Jadi Alhamdulillah (ada) pada tahun ini, sekarang ini umur 67 tahun.

"Saya pun rasa tidak sangkalah dapat mengadakan konsert ini dan dapat bertemu dengan peminat-peminat yang selama ini meminati saya dan saya harap mereka akan menyokong saya," jawab Sanisah Huri.

Sepanjang konsert 90 minit itu yang bermula dari jam 8.00 malam, Sanisah Huri akan mendendangkan 25 buah lagu hits beliau yang malar segar termasuk “Siapa Gerangan”, “Si Baju Hijau”, “Ku Jangan Ditinggalkan”, “Taj Mahal”, “Mencari Bahagia”, “Tari Tualang Tiga”, “Kau Di Sayang”, “Inai Pengantin” serta “Tuah dan Tijah”.

Bahkan, penyanyi ini turut mengundang rakan artis seangkatan dari seberang tambak, Andre Goh, untuk berkongsi pentas dengannya di Capitol Theatre.

Selain itu, bakat muda Sufi Rashid dan Mai Dhaniyah juga akan naik pentas untuk menyumbang suara dengan menyanyikan lagu-lagu Sanisah Huri.

"Konsert seperti ini adalah konsert yang sangat bagus buat generasi muda untuk ambil pelajaran daripada penyanyi dahulu seperti Sanisah Huri dan ramai lagi. Untuk Mai, Mai berbesar hati," ulas Mai Dhaniyah.

Pastinya, ia dijangka merupakan satu malam bersejarah dengan persembahan serba gah, seolah-olah suatu penghormatan sepanjang hayat demi mengenang dan memperingati perjalanan serta detik-detik kegemilangan ‘Golden Girl’ Singapura ini dalam industri muzik serantau.

Penghormatan sedemikian demi menjunjung sumbangan Sanisah Huri, menurut pihak penganjur, adalah tepat pada masanya.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Para penonton juga dijanjikan satu pengalaman berbaloi di mana mereka dapat mendengar atau melihat sendiri sisi menarik Sanisah Huri yang mungkin ramai tidak ketahui.

"Semua maklumkan Kak Nisah ini orangnya pemalu dan susah hendak buka mulut. Kami akan buat dia buka mulut dan sedikit sebanyak menceritakan kisah-kisah yang selama ini jadi tanda tanya oleh peminat," kongsi Setiausaha PERKAMUS, Rusedah Tawahid.

Konsert anjuran Taps Events & Entertainment dengan disokong dan diarahkan oleh PERKAMUS itu turut diharap menghimpunkan para peminat Sanisah Huri yang bukan sahaja dari Singapura, tetapi juga dari Malaysia, Brunei serta Indonesia.

Tiket-tiket berharga antara $68 hingga $128 akan mula dijual mulai 15 Januari ini menerusi SISTIC. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan