Images
  • fauziah ahmad daud main
    Fauziah Ahmad Daud. (Gambar-gambar: Fauziah Ahmad Daud/Instagram)

Sambal ‘Saadiah’ jualan Ogy Ahmad Daud kini antara pilihan jemaah umrah & haji

BERITAMediacorp: Selain merupakan seorang pelakon yang hebat dan disegani sehingga kini, rupa-rupanya pelakon veteran Fauziah Ahmad Daud gemar memasak.

Kecintaannya terhadap memasak itulah yang turut membawanya ke Singapura baru-baru ini untuk bertemu dengan peminat-peminat serta pembeli yang sanggup menunggu untuk mendapatkan sambal goreng Saadiah, sambal ikan kurau masin berlado, sambal sotong kering serta pes nasi goreng yang dibotolkan.

Kesemua produk tersebut boleh bertahan selama tiga bulan lamanya. Beliau memulakan perniagaan tersebut tujuh tahun lepas secara online. Di Instagram juga, beliau yang mesra dipanggil Ogy Ahmad Daud menjual sambal goreng Saadiah. Ia menggunakan resipi turun-temurun arwah ibunya iaitu seniwati Saadiah.

Ketika ditemui BERITAMediacorp untuk pameran anjuran MegaXpress International di Singapura, Ogy berkongsi dengan kami bahawa beliau sebenarnya diajar memasak oleh arwah ibunya ketika usianya 15 tahun.


PESANAN PENTING SAADIAH KEPADA OGY DALAM SOAL MASAK

Prinsip arwah ibunya ialah wanita harus tahu memasak kerana air tangan isterilah suami nak rasa. Bermula dari arwah neneknya, ketika beliau tinggal di Boon Teck Rd di Singapura, anak-anak menjual kuih waktu petang.

“Saya sendiri melihat arwah nenek seorang ibu tunggal berjaya membesarkan dan didik cucu- cicit dengan hasil menjual makanan. Mak menitik beratkan seorang wanita itu harus berdikari walaupun bersuami atau tidak,” kongsi Ogy.

Menceritakan lebih lanjut, anak seni serba boleh yang boleh menyanyi dan mengacara itu berkata, beliau mengambil masa dua bulan untuk mendapat kelulusan mencapai tahap piawaian arwah ibunya.

Ini antara mutiara yang pernah ditekankan ibu Ogy: “Arwah mak pernah kata pada saya, Fauziah kalau dah tak nak berlakon dan Fauziah nak meniaga sambal, janji dengan mak Fauziah jangan sesekali catu bahan-bahan. Dia kata, macam mana kita nak makan sedap, begitu jugak orang yang membeli.

“Kamu tidak boleh jatuh muflis bila kamu ikhlas memasak. Jadi saya berpegang pada itu. Semua terperanjat dengan begitu padatnya pengisian produk makanan saya. Ada yang bertanya macam mana saya buat untung?”

SEHINGGA JADI PILIHAN JEMAAH UMRAH & HAJI

Berkat kesungguhannya memasak sendiri kesemua sambal-sambalnya itu, produk makan tersebut menjadi antara pilihan sebagai bekalan jemaah Malaysia yang bakal menunaikan umrah dan ibadah Haji. Malah ada juga pembeli Melayu yang menetap di luar negara membeli berkotak-kotak darinya sekiranya mereka pulang sejenak ke Malaysia, kongsi Ogy yang pernah meraih Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Ali Setan.
Kalau anda mahu tahu, beliau sendirilah yang akan memasak kesemua produk-produknya termasuk menumis lauk.

“Saya tidak percaya kepada orang lain untuk membuatnya kerana orang lain itu tidak belajar dari arwah mak saya. Saya yang belajar, saya harus menjaga warisan dia. Bila saya berlakon, saya tidak akan berkompromi tentang mutu. Begitu juga bila saya memasak.

“Bila saya mempraktikkan apa yang saya bercakap ini, sememangnya saya tidak merasa kerugian kerana magisnya bila kita lakukan sesuatu dengan penuh kasih sayang, keikhlasan, orang akan tempah lagi. Kadang tak menang tangan,” katanya bersungguh-sungguh dalam pertemuan dengan BERITAMediacorp ini.

OGY: “PERCAYALAH, BAHAWA JANJI ALLAH ITU PASTI”

Wanita hebat itu turut ditanya mengapakah keikhlasan itu penting dalam perniagaan memandangkan ada juga peniaga yang hanya mengutamakan keuntungan. Jelas beliau, agama Islam sendiri mengajar tentang keikhlasan apabila umatnya berbuat sesuatu. Sempat Ogy membuat komen ala seorang ustazah:

“Percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Bila kita ikhlas, jujur, kita tidak mengira dengan apa yang kita berikan pada pelanggan, lain berkatnya kerana dengan hasil jualan itu kita boleh merasai wang ringgit yang kita dapat itu sangat-sangat diberkati Allah. Kita ingat dah habis kita belanja, eh ada lagi?”

Umum ketahui betapa seniwati Saadiah sebagai seorang insan seni sehingga kini tetap diingati. Apakah nama Allahyarhamha seniwati Saadiah itu sendiri sedikit sebanyak membantu melariskankan lagi sambal goreng Saadiah yang dijual Ogy sekarang ini?

Dengan tenang Ogy menjawab:

“Terus terang nama Allahyarhamha Hajjah seniwati Saadiah itu lebih kuat sebab peminat-peminat mengenalinya sebagai seorang seniwati. Tidak pernah terfikir di minda mereka bahawa arwah mak pandai memasak. Ia timbulkan satu keinginan ingin tahu bila orang tertanya-tanya apa sebenarnya sambal goreng Saadiah ni?

“PASSION SAYA SELAIN DARI BERLAKON, ADALAH MEMASAK”

“Itu yang membuatkan orang lagi ingin memiliki, nak tahu dan merasai. Pada awalnya mereka tidak yakin memang saya yang memasak sehinggalah rancangan Melodi TV3 datang ke rumah dan saya sedang memasak dan mereka rakamkan. Barulah mereka tahu, passion saya selain dari berlakon, adalah memasak.”

Kesemua sambal yang dimasaknya tidak menggunakan bahan pengawet dan bertahan selama tiga bulan lamanya. Rahsianya adalah untuk menumis bawang dan cili selama empat jam untuk jumlah yang besar.
“Takkan saya nak bagi orang makan yang mentah? Cirit-biritlah orang tu (ketawa),” tambahnya berseloroh.

Beliau gembira kerana dapat meneruskan warisan arwah nenek dan ibunya yang gemar memasak. Bahkan, lebih membahagiakan Ogy adalah apabila ada juga pelanggan-pelanggan yang akan sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ibu dan arwah bapanya setelah mereka membeli produk Fauziah Ahmad Daud.

“Itu sangat menyentuh perasaan bagi saya,” katanya.

Meskipun beliau gemar memasak dan berniaga kini, kerjaya lakonana tidak diabaikan. Drama lakonan terkininya menerusi watak Suraya berjudul Rahsia Hati Perempuan disiarkan di saluran Astro Ria baru-baru ini.

Namun, beliau akan hanya bersetuju menerima tawaran lakonan sekiranya naskhah tersebut dapat merangsang mindanya. Ini komen terus terang Ogy kepada BERITAMediacorp:

“Saya memang seseorang yang pentingkan mutu dan professionalisme bila saya bekerja. Saya tidak akan mengambil naskah asal boleh. Bila saya membaca naskah itu, jiwa saya kena rasa. Formula itu yang saya pegang selama ini yang orang bertanya apa rahsia saya bertahan.

“Saya sangat-sangat takut jika saya tidak menjaga bakat yang Allah berikan ini. Saya amat takut kalau saya kecewakan guru-guru saya, amat takut kalau saya kecewakan peminat-peminat saya.”

SIAPA GURU-GURU OGY DAN APA YANG MEREKA WARISKAN?

Terangnya lagi, beliau begitu ambil berat tentang amanah dan tanggungjawab setiap kali beliau bersetuju untuk berlakon dan harus juga kekalkan apa yang dididik oleh guru-gurunya. Antara mereka ialah ibunya seniwati Saadiah, seniman Jins Shamsuddin, Rahim Razali dan Ahmad Yatim. Pesan guru-gurunya antara lain berpesan bahawa apa sahaja seni yang diceburi, bakat tersebut adalah satu pinjaman dari Allah (swt) yang harus dijaga elok-elok.

“Bila saya melangkah masuk ke set, saya adalah watak. Maka itu setiap kali bila ditawarkan berlakon, saya akan minta naskhah dan mereka harus berikan saya masa untuk kaji siapa watak ini. Saya tidak mahu menipu peminat-peminat saya dari zaman filem Azura hinggalah Fauziah Ahmad Daud dalam abad 21 ini,” ujarnya serius seketika.

Maka tidak menghairankan apabila beliau memilih menjadi pengetua Ogy Centrestage & Academy. Ini agar dapat berkongsi ilmu. Antara lain, penubuhan akedemi tersebut diharapkan dapat melahirkan pelakon-pelakon yang juga berilmu dan berkualiti setelah menyertai bengkel-bengkel anjuran Fauziah Ahmad Daud itu.

- BERITAMediacorp/FH/sm

Top