Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Saintis temui spesies katak baru, namakannya sempena kumpulan Led Zeppelin

Para pengkaji di pergunungan Andes di Ecuador telah menemui spesies baru katak darat dan menamakannya sempena kumpulan perintis 'rock', Led Zeppelin, akhbar The Guardian melaporkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Saintis temui spesies katak baru, namakannya sempena kumpulan Led Zeppelin

(Gambar: Neotropical Biodiversity; Crossbeat Magazine menerusi Facebook/Led Zeppelin)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 12:42PM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 12:51PM

LONDON: Para pengkaji di pergunungan Andes di Ecuador telah menemui spesies baru katak darat dan menamakannya sempena kumpulan perintis 'rock', Led Zeppelin, akhbar The Guardian melaporkan.

Pristimantis ledzeppelin, yang dikenali sebagai Led Zeppelin's Rain Frog atau Katak Hujan Led Zeppelin, ditemui oleh saintis David Brito-Zapata dan Carolina Reyes-Puig di Cordillera del Cóndor, yang terletak antara Ecuador tenggara dengan timur laut Peru.

Katak kecil itu, yang mempunyai mata merah tembaga dan kulit berbintik-bintik, kuning, coklat, hitam dan jingga, adalah dalam kumpulan genus Pristimantis yang besar dan membiak dengan cepat. Genus mempunyai 569 spesi - 28 daripadanya dikenal pasti di Ecuador dalam hanya tempoh dua tahun yang lalu.

Penemuan baru itu diterbitkan dalam jurnal Neotropical Biodiversity dan di laman Institut Biodiversiti Nasional pemerintah Ecuador.

Katak jantan spesi itu boleh membesar hingga kira-kira 2.4 sentimeter (cm), sementara katak betina dewasa sehingga 3.6 cm.

"Nama itu memberi penghormatan kepada Led Zeppelin dan muzik mereka yang luar biasa," kata pasangan saintis itu dalam jurnal tersebut.

"Led Zeppelin adalah kumpulan rock Britain yang dibentuk di London pada tahun 1968 dan merupakan salah satu kumpulan yang paling berpengaruh sepanjang tahun 1970-an, dan pengasas muzik hard rock dan heavy metal."

Kedua-dua saintis itu memberi amaran bahawa Pristimantis ledzeppelin menghadapi risiko ancaman kerana habitat semula jadinya diancam kegiatan pertanian, pembalakan, pelombongan, penyakit dan perubahan iklim.

Menurut mereka, spesies itu tidak mungkin berpindah ke tempat lain dan memerlukan perlindungan.

Banyak spesis haiwan yang ditemui baru-baru ini yang mengambil nama kumpulan-kumpulan rock dan metal, seperti ular berbisa yang dinamakan sempena James Hetfield (vokalis Metallica), katak dinamakan sempena kumpulan Nightwish, dan tarantula yang diberi nama sempena Dave Mustaine (bekas Metallica, pengasas Megadeth), lapor laman muzik Loudwire.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan