Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

S$18,000 sudah terkumpul, PRIHATIN sasar terus kutip dana bantu lebih ramai artis memerlukan

Setelah berjaya kumpul S$10,000 dalam masa singkat bagi Konsert Darurat Nuradee bulan lalu, PRIHATIN berkongsi rancangan seterusnya untuk membantu penggiat seni tempatan yang dilanda cabaran. Antara yang diberi tumpuan dalam masa terdekat termasuk Zamberi A Patah dan Mahadi Shor atau 'Obek Didi'.

Anggaran Waktu Membaca:
S$18,000 sudah terkumpul, PRIHATIN sasar terus kutip dana bantu lebih ramai artis memerlukan

Zamberi Abdul Patah (atas), Mahadi Shor atau 'Obek Didi' dan anggota Koosmangat (bawah) antara artis yang ingin dibantu PRIHATIN (Gambar-gambar ihsan: PRIHATIN S'prua)

BERITAmediacorp: Menghulurkan sokongan kepada artis-artis Singapura yang terkesan dengan pelbagai cabaran, sambil pada masa yang sama "menyerlahkan penggiat dan melestarikan seni" tempatan.

Demikian matlamat yang menjadi pegangan Penggiat Seni Melayu Singapura (PRIHATIN) dalam menganjurkan pelbagai usaha kebajikannya.

Bercakap kepada BERITAmediacorp, pelakon veteran tempatan dan Presiden PRIHATIN Jasmi Md Nor berkongsi setakat ini gerakan tersebut sudahpun berjaya mengumpul sekitar S$18,000.

Ini termasuk sekitar S$10,000 yang dikumpulkan menerusi Konsert Darurat Nuradee pada lewat September dan lagi sekitar S$8,000 menerusi sumbangan orang ramai secara amnya.

Meskipun masih dalam proses mendaftarkan PRIHATIN sebagai sebuah pertubuhan rasmi di bawah Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS), beliau yang juga mesra disapa Joe Jasmi, 63 tahun, berkata kumpulan itu akan terus menjalankan pelbagai usaha demi mencapai matlamatnya menyokong kebajikan penggiat seni tempatan.

'FOOD CHARITY PROJECT' LIBATKAN 13 PENIAGA

Selain kutipan dana daripada orang ramai sehingga 31 Disember ini, salah satu daya usaha yang digerakkan PRIHATIN adalah 'Food Charity Project' atau Projek Makanan Amal.

Jelas Joe, usaha itu melibatkan sebilangan pemilik perniagaan makanan & minuman tempatan (F&B), yang akan menyumbang sebahagian daripada pendapatan atau hasil penjualan mereka untuk membantu artis-artis tempatan yang memerlukan menerusi PRIHATIN.

Setakat ini, 13 perniagaan F&B sudah turut serta dalam projek tersebut, iaitu:

  • 1819 Restaurant By The Quay – Chef Andri
  • Julie Bakes (Arab Street)
  • Le Fuse (Arab Street)
  • SteakMe – Chef Amri (Jln Kayu)
  • Al Nour's Kitchen (Geylang Serai)
  • 555HalalThai – Fatimah Mohsin (Kranji)
  • Broti (Arab Street)
  • Padi Emas (Arab Street)
  • Dhia Cafe (Arab Street)
  • Zoul Nasi Ayam Penyet (Tampines)
  • Warong DY – Aim Jambul (Changi South Ave 4)
  • Segar Restaurant
  • Jumain Sataysfaction

Projek amal itu adalah cetusan idea beberapa artis tempatan, termasuk Rafaat Hamzah dan gitaris utama Lovehunters, Moliano Rasmadi.

Mengulas lanjut tentang projek tersebut, Rafaat, 55 tahun, yang turut memegang jawatan sebagai penolong pengarah projek berkata: "Sedangkan kami sendiri yang sihat masih menghadapi cabaran dalam suasana pendemik yang tidak menentu ini, apakan lagi mereka (rakan penggiat seni yang menghadapi masalah kesihatan). Untuk membantu sepenuhnya dari sudut kewangan mungkin agak berat, setidak-tidaknya kami bersepakat untuk membantu dengan usaha mengumpul dana dengan mengorbankan sedikit masa dan tenaga terdaya mungkin."

Bagi menyokong usaha tersebut, yang masih mengalu-alukan para usahawan, peniaga dan syarikat yang ingin turut serta, satu siri enam persembahan diadakan setiap minggu dan disiarkan di laman Facebook PRIHATIN.

"Untuk episod ketiga ini, kami akan bercerita sedikit tentang tujuan PRIHATIN ditubuhkan. Dari sudut hiburan, saya akan berduet bersama Ryzall Noh," kongsi Rafaat lagi.

'CIK LEH', 'OBEK DIDI' ANTARA ARTIS DIBANTU

Jika anda meninjau akaun media sosial PRIHATIN, anda pasti akan ternampak tiga artis ditampilkan: pelakon Zamberi Abdul Patah yang cukup sinonim dengan watak 'Cik Leh' dalam drama Jeritan Sepi, pelakon dan pelawak veteran Mahadi Shor atau Obek Didi, serta Ahmad Indera, anggota kumpulan trio 1990-an 'Koosmangat'.

Zamberi yang mengalami penyakit elefantiasis, dilihat memerlukan bantuan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk bergerak ke sana ke mari. Indera pula, dilihat duduk di atas katilnya, dengan kedua-dua belah kakinya kudung akibat kencing manis, dedah Joe.

Anggota Koosmangat Ahmad Indera (kiri) dan Bob (Gambar ihsan: PRIHATIN Singapura)

Anggota Koosmangat Ahmad Indera (kiri) dan Bob (Gambar ihsan: PRIHATIN Singapura)

Manakala Obek Didi, yang selama berdekad-dekad mencuit hati ramai penonton dengan telatahnya yang bersahaja dalam sketsa-sketsa lucu, kelihatan sudah uzur dan disuap makan dalam video yang dimuat naik PRIHATIN.

Menjelaskan kepada BERITAmediacorp, Joe berkata bahawa ketiga-tiga tokoh seni tanah air itu adalah antara artis yang mahu dibantu oleh PRIHATIN melalui dana yang dikumpulkan.

Beliau menambah, badan itu sedang dalam usaha untuk mencari dan mengumpulkan penggiat seni yang memerlukan sokongan. Bilangan yang akan dibantu serta sumbangan yang bakal dihulurkan kepada setiap artis akan bergantung kepada jumlah sumbangan yang berhasil dikumpulkan.

MALAM 'LEKEK!' ACARA BESAR SETERUSNYA

Setelah berjaya menganjurkan Konsert Darurat Nuradee bulan lalu dalam masa singkat selama dua minggu dan mengumpulkan S$10,000 menerusi acara tersebut, kini ada satu lagi acara utama dalam jadual PRIHATIN.

Malam Lekek! akan diadakan pada 26 dan 27 November ini dan bakal disiarkan menerusi Facebook. Menggembleng tenaga 35 penggiat seni termasuk penyanyi, pemain muzik, pelawak dan pelakon, acara itu bakal menampilkan lapan sketsa komedi yang diharap dapat menghiburkan penonton sambil mengumpul dana.

Mengulas lebih lanjut tentang pelibatan para artis bagi acara itu, yang juga merupakan penutup tirai bagi Projek Makanan Amal, Joe berkata:

"Kami sangat-sangat bersyukur kerana semasa mereka tampil untuk terlibat sama, mereka tidak sebut pun tentang hal bayaran atau sebagainya. Semuanya mahu menyumbang untuk membantu sesama penggiat seni."

Ditanya tentang sasaran yang ingin dicapai, Joe berkata badan tersebut tidak menetapkan sebarang sasaran. Namun, memandangkan derma orang ramai setakat ini sudahpun mencecah S$8,000, beliau berharap sekurang-kurangnya lagi S$10,000 dapat dikumpulkan di akhir acara itu nanti.

(Gambar: Facebook/PRIHATIN Singapura)

(Gambar: Facebook/PRIHATIN Singapura)

"Kami tidak letakkan sebarang sasaran. Kalau dapat S$10,000, Alhamdulillah. Kalau dapat kumpulkan lebih daripada itu, kirakan bonus," tambahnya.

Berkongsi tentang rancangan PRIHATIN selepas Malam Lekek nanti, Joe berkata beliau berharap badan tersebut dapat memperhebatkan usaha mengumpul dana setelah ia selamat didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi.

Antaranya, menurut beliau, adalah mengadakan acara dengan kerap iaitu dua bulan sekali dengan sumbangan bakat oleh para penggiat seni tanah air.

Pokoknya, kata beliau, "ia bagi membantu penggiat seni, sambil menyerlahkan (bakat) dan memartabatkan seni hiburan di Singapura." 

Oleh kerana masih dalam proses pendaftaran rasmi, PRIHATIN kini bekerjasama dengan badan seni bukan untuk meraih keuntungan, iaitu Perkumpulan Seni, bagi tujuan mengumpul dana. Sebarang sumbangan boleh dihulurkan menerusi:

Akaun Maybank Perkumpulan Seni
Pindahan Bank: No Akaun 04101007077
PayNow : UEN S57SS0019A, sila letakkan 'Prihatin Charity' di bahagian 'Payment Reference'.

Anda juga boleh kunjungi laman Facebook PRIHATIN Singapura untuk maklumat terkini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan