Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rusty Blade satu-satunya kumpulan S’pura di pentas Nusa Fest

 Bertahan selama 41 tahun sebagai artis berkumpulan dan masih diminati sehingga kini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bertahan selama 41 tahun sebagai artis berkumpulan dan masih diminati sehingga kini. Itulah keunggulan kumpulan Rusty Blade sehingga mereka dipilih oleh penganjur acara Kuala Lumpur iaitu Shiraz Projects Sdn Bhd untuk menyertai acara Nusa Fest yang bakal diadakan pada Julai 2020 nanti di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Dari senarai artis-artis hebat dari tiga negara dengan genre muzik yang berbeza dan tersendiri seperti Butterfingers, Caprice & Badboi, Cita Citata, Cromok, Exists Reunion, Fourtwnty, Gerhana Skacinta, Iqbal, Joe Flizzow, K-Clique, Kelompok Penerbang Roket, Maliq & D ‘Essentials, Padi Reborn, Raisa, Seringai, Slank dan Tulus, hanya kumpulan Rusty Blade artis yang berasal dari Singapura terpilih untuk acara gah itu.

Dalam pertemuan dengan BERITAmediacorp baru-baru ini di sidang media Nusa Fest di Kuala Lumpur, vokalis kumpulan tersebut, iaitu Yantzen, berkongsi:

“Rasa sangat-sangat teruja dan berbesar-hati mewakili Singapura sebab sekarang ini ramai band-band baru. Kami diundang untuk tiga negara bergabung. Dalam banyak-banyak band, kami yang terpilih dari Singapura sebab mungkin kami yang paling lama dan masih lagi aktif seperti saya walaupun dah usia 60-an.”

(Gambar: BERITAmediacorp)

Sebelum popular menerusi album, Rusty Blade pernah mendapat jolokan Iron Maiden Singapura. Kata vokalis berusia 61 tahun yang menetap di Kuala Lumpur itu kepada kami:

“Saya selalu digelar begitulah. Bila dah buat album dah tak boleh menumpukan suara saya seperti mereka (Iron Maiden), jadi saya kena ada suara saya sendiri.”

Apakah pernah timbul kesukaran apabila mereka diperlukan untuk bergabung sebagai kumpulan sekiranya ada persembahan atau latihan?

“Teknologi sangat menakjubkan. Kita boleh berlatih di KL bila dah dapat susunan lagu dan kami boleh berinteraksi dengan cepat dengan data itu.”

Sama seperti kumpulan lain, Yanzten tidak menafikan bahawa kumpulan Rusty Blade juga pernah ada perbezaan pendapat sesama anggota mereka sepanjang 41 tahun mereka bersama.

“Semestinya adalah. Kita berkelahi tapi ia sama macam kita berumahtangga. Kasih sayang masih diterapkan dalam jiwa masing-masing dan kami teruskan. Hidup mesti diteruskan,” menurutnya popular dengan lagu solo berjudul Insan.

Kumpulan itu juga dipercayai masuk lagi ke studio rakaman untuk rakaman single terbaru mereka. Kali terakhir Rusty Blade merakamkan lagu ialah pada tahun 1989 . Kongsinya dengan nada agak serius pula mengenai kemungkinan dua buah lagu akan dirakamkan kali ini.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Apakah sebuah kumpulan muzik perlu merakamkan lagu-lagu baru kerana peminat selalunya mendambakan sesebuah kumpulan rok membawakan lagu-lagu hits lama mereka? Ini jawapan beliau kepada BERITAMediacorp:

“Saya rasa perlu untuk keluar single baru selagi ada kemampuan sebab orang nak tahu atau mungkin mereka dahagakan lagu-lagu baru kita atau nasib kita lagu itu akan jadi lagu yang diminati ramai.”

Namun, Yantzen sempat meluahkan rasa sedihnya tentang kesukaran menjual album sekarang ini.

“Memang sangat menyedihkan industri muzik sekarang sebab kita tak boleh jual album seperti dulu. Kalau dulu boleh jual 30,000 atau 50,000 album di pasaran, boleh pergi jauh.

Sekarang tidak lagi. Siapa yang tonton atau ’like’, anda popular. Saingan sekarang sangat hebat berbeza dari zaman kami,” luahnya.

Maka tidak mustahil artis mahupun syarikat rakaman keberatan untuk menerbitkan album penuh sekiranya ia mendapat sambutan dingin daripada penggemar muzik masa kini.

Dalam usia sebegitu membawakan lagu-lagu genre rok, Yantzen menjaga kesihatan dengan bersenam agar tidak rasa lemah apabila menyampaikan tiga atau empat buah lagu untuk acara Nusa Fest. Untuk festival tersebut, Rusty Blade bakal membuat persembahan tanpa henti selama satu jam. Jadi apakah rahsia Yantzen dapat kekalkan suara mantap sehingga kini?

Menurut beliau mudah sahaja sebenarnya:

“Cukup tidur, banyak rehat dan minum air yang bersih itu sangat diperlukan, sama ada air mineral atau air masak sebab air paip di setiap negara mempunyai kandungan alkali yang berbeza-beza. Amalkan minum sebelum tidur dan bangun tidur setiap hari.”

Untuk maklumat mengenai persembahan Rusty Blade dan Nusa Fest, layari http://www.shirazprojects.com atau ikuti Instagram/facebook: nusafest.my 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan