Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rusty Blade belum 'karat' lagi; album baru dijangkakan keluar tahun depan

Sempena ulang tahunnya yang ke-40, salah satu ikon muzik rock Melayu, iaitu kumpulan rock kapak Rusty Blade, bakal menggegarkan pentas Rock Fest pada akhir bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusty Blade belum 'karat' lagi; album baru dijangkakan keluar tahun depan

Anggota-anggota Rusty Blade (dari kiri) Mann Karen, Zan dan Khalid Mobin di sebuah sidang media untuk Rock Fest.

SINGAPURA: Sempena ulang tahunnya yang ke-40, salah satu ikon muzik rock Melayu, iaitu kumpulan rock kapak Rusty Blade, bakal menggegarkan pentas Rock Fest pada akhir bulan ini.

Acara lima hari anjuran Wisma Geylang Serai bersama Orange Productions itu dijangkakan menjadi perhimpunan para pencinta rock terbesar di Singapura.

Persembahan Yantzen, Khalid Mobin, Noor Hendrik, Mann Karen dan Zan di Rock Fest merupakan penampilan mereka yang pertama di Singapura sejak 25 tahun lalu.

Ini didedahkan Rusty Blade sendiri di satu sidang media di Wisma Geylang Serai hari ini.

Bagaimanapun untuk mempersiapkan diri bagi konsert tersebut para anggota Rusty Blade kini terpaksa berlatih secara berasingan dan terpisah kerana Yantzen dan Noor Hendrik kini di Malaysia, sementara anggota lain berada di Singpaura.

Bagaimanapun menurut kumpulan rock Singapura itu, ia bukan masalah bagi rocker veteran seperti mereka.

ALBUM BARU PERTENGAHAN 2019

Mengenai persembahan mereka pada 29 Disember, Rusty Blade yakin para peminat mereka tidak akan kecewa.

"Kalau boleh kita nak bantai 20 lagu, semua lagu terbaik. Tapi tak mampu, kerana waktu terhad. Jadi kita akan kasi lagu yang terbaiklah, yang dengar di radio hari-hari, yang lagu-lagu berat, yang peminat suka. Mereka akan terhibur lah. Mereka akan dapatlah yang mereka harapkan," kongsi Zan, pemain drum kumpulan yang telah menerima gelaran 'Iron Maiden Singapura' itu.

Selain Rusty Blade, bakat-bakat tempatan lain seperti Diorama, Shafyre, Antologi dan Raven akan turut ditonjolkan, di samping mengadakan peraduan nyanyian rock - Wisma Karock!

Bukan setakat mengadakan konsert 'reunion' yang berada dalam perancangan Rusty Blade sebenarnya.

Kumpulan itu juga mengesahkan bahawa selain sebuah DVD konsert, sebuah album terbaru juga sedang diusahakan. Kedua-duanya dijangka dikeluarkan sekitar pertengahan tahun depan.

Rock Fest akan berlangsung dari 27 hingga 31 Disember di Wisma Geylang Serai dan orang ramai boleh menontonnya secara percuma. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan