Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rozza, Nora Danish sekali lagi jalin kolaborasi perniagaan menerusi jenama 'Tara'

Sebut sahaja nama Nora Danish, wajahnya yang mulus dan senyumannya yang manja pasti terbayang di minda.

Anggaran Waktu Membaca:
Rozza, Nora Danish sekali lagi jalin kolaborasi perniagaan menerusi jenama 'Tara'

Rozza Ramli, Puteri Zarith, Nora Danish dan Cathy Danish sebagai pengasas Tara. (Gambar: July Photography)

BERITAmediacorp: Sebut sahaja nama Nora Danish, wajahnya yang mulus dan senyumannya yang manja pasti terbayang di minda.

Meskipun sudah mencecah usia 37 tahun, ibu dua anak ini tetap langsing, awet muda dan giat mengendalikan salun Karva by Nora Danish di Kuala Lumpur.

Namun, di sebalik kejayaan Nora mengimbangi tugas dan kewajipan sebagai ibu dan isteri, selebriti manis ini tidak menyangkal usianya yang kian meningkat menjadi cabaran dalam kehidupan seharian.

Nora berkongsi: "Dari segi tenaga itu memang susah, sebab kita lepas kerja, jumpa orang dan mesyuarat semua, perlu melayan suami. Jadi memang kena paksa diri, sentiasa senyum dan kena sentiasa aktif dalam Instagram.

"Orang tengok macam senang, padahal tak, ia semua kerja keras. Dengan adanya 'Tara Juice', ia banyak membantu Nora."

July Photography

(Gambar: July Photography)

Demikian menurut Nora sempena pelancaran jenama Tara, yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan wanita dengan memanfaatkan bahan-bahan jamu bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup wanita moden.

Pelancaran tersebut berlangsung di Grand Hyatt Singapore pada Sabtu (24 Ogos).

Tara Inner Wellness Juice atau 'Tara Juice' antara lain mengandungi campuran kurma, lengkuas dan temu kunci (fingerroot) dan tersedia dalam bentuk paket.

HASIL GABUNGAN IDEA 4 USAHAWAN WANITA

Isteri kepada Nedim Nazri itu menambah, ini terutama sekali penting di zaman ramai wanita yang berkerjaya juga perlu menjaga keluarga dan anak-anak.

"Nora rasa kesejahteraan wanita itu sangat penting kerana ramai wanita di luar sana yang terlalu sibuk sampai tak menjaga diri. Bila adanya produk-produk daripada Tara ini, yang memang khusus untuk wanita-wanita bekerja, ia sekali gus menjaga dalaman kita dan juga benar-benar mudah kerana boleh dibawa ke mana-mana," ujar Nora.

July Photography

(Gambar: July Photography)

Diwujudkan hasil kolaborasi empat usahawan wanita Singapura dan Malaysia ini - Rozza Ramli, Nora Danish, Cathy Danish dan Puteri Zarith. Mereka yang digelar #tarasisters ini ternyata mempunyai kelebihan masing-masing.

"Kakak saya Cathy menjaga jadual dan memberi galakan kepada saya untuk ke mesyuarat dan sebagainya.

"Puteri Zarith pula menjaga bab pengeluaran sebab dia memang pakar dan Rozza secara asasnya membuat kesemuanya, beliau sangat hands-on!" kongsi Nora.

KOLABORASI KEDUA NORA-ROZZA

Ini juga merupakan usaha sama kedua antara Nora Danish dan usahawan Singapura, Rozza, selepas kolaborasi Karva di Kuala Lumpur.

"Salah satu ciri Rozza adalah beliau seorang yang bercita-cita tinggi dan dia juga seorang usahawan yang berjaya. Jadi setiap kali dengannya, beliau sering berkongsi idea dan tiba-tiba kami terfikir untuk menghasilkan sesuatu untuk wanita.

"Kami juga seorang ibu dan isteri, jadi terfikir juga bagaimana menolong wanita-wanita di luar sana," ujar Nora, yang pernah memiliki restoran Kopi & XOXO dan perniagaan pakaian Owl By ND.

8,000 BOTOL DIJUAL SEBELUM PELANCARAN RASMI

Malah sebelum pelancaran rasmi jenama tersebut, salah satu produknya, pembersih wanita bernama Tara Inner Cleanser, sudahpun menarik perhatian ramai.

Lebih menakjubkan, 8,000 botol sudahpun berjaya dijual di Singapura dan Malaysia dalam masa sebulan!

(Gambar: Tara Wellness HQ/ Instagram)

"Saya sangat teruja dan sangat gementar menjelang pelancaran ini. Ia sangat dekat dengan kami kerana kali ini kami betul-betul mahu menolong wanita-wanita di luar sana," tambah Nora.

FOKUS KEPADA PERNIAGAAN, KELUARGA

Ibu kepada Putra Rayqal dan Mohamed Neqayl itu juga akur, beliau kini lebih sibuk dengan dunia perniagaan dan tanggungjawab di rumah berbanding dengan dunia lakonan.

"Lakonan memerlukan banyak sangat masa sehingga satu atau dua bulan dan bayi (Neqayl) pun masih kecil lagi, jadi Nora tidak terlalu ambil banyak sangat (tawaran berlakon)," jelas Nora tentang minatnya itu.

Dengan dua putera di rumah dan kini "puteri baru" dilancarkan, Nora pastinya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan perniagaannya.

"Tara satu nama yang sangat indah. Jika saya ada seorang anak perempuan, mungkin itulah namanya," seloroh beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan