Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rossa tembusi K-pop

Siapa sangka, rakaman yang dibuat suka-suka akhirnya membuka peluang yang lebih besar buat penyanyi dari Indonesia, Rossa apabila single terbarunya, Sangcheo Badeun Maeum atau The Heart You Hurt bakal membawanya ke Korea Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rossa tembusi K-pop

(Gambar: Rossa/Instagram)

Diterbitkan : 03 Apr 2021 08:04PM Dikemas Kini : 03 Apr 2021 08:07PM

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, rakaman yang dibuat suka-suka akhirnya membuka peluang yang lebih besar buat penyanyi dari Indonesia, Rossa apabila single terbarunya, Sangcheo Badeun Maeum atau The Heart You Hurt bakal membawanya ke Korea Selatan.

Selepas dilancarkan tahun lalu, lagu yang judul asalnya Hati Yang Kau Sakiti dan dirakam Rossa dalam bahasa Korea itu menarik minat salah seorang anggota kumpulan K-pop tersohor, Super Junior iaitu Lee Donghae, lapor BH Online.

Donghae muncul dalam video muzik lagu berentak syahdu itu yang sudah ditayangkan di YouTube.

Berkongsi berita gembira itu menerusi sidang media secara maya baru-baru ini, Rossa atau nama penuh, Sri Rossa Roslaina Handayani berkata, Donghae menjadi pilihan kerana mereka saling mengenali, malah bernaung di bawah syarikat pengurusan sama.

"Sebelum ini, saya pernah menjadi penyanyi undangan kumpulan Super Junior ketika mereka mengadakan konsert di Jakarta. Dari situ, kami saling mengenali.

"Kebetulan kami di bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu SM Entertainment, jadi urusan untuk merealisasikan projek ini menjadi mudah.

"Cuma tidak dinafikan, sebagai sebuah kumpulan legenda, perlu ada protokol yang perlu dipatuhi dan kata persetujuan setiap anggota kumpulan harus diambil kira. Apa sahaja entri membabitkan Donghae juga perlu mendapat pelepasan daripada pengurusan kumpulan berkenaan.

"Biarpun agak rumit, namun saya gembira kerana Donghae memberi kerjasama sepenuhnya.

"Apa yang membuatkan saya teruja adalah apabila dia sudi memuat naik petikan klip video muzik dalam akaun media sosial sambil menghebahkan pembabitannya dalam video itu,' kata penyanyi berusia 42 tahun ini kepada BH Online.

Rossa menambah, jika bukan kerana wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, pasti beliau dan jejaka kacak itu dapat bertentang mata untuk menjayakan rakaman video muzik lagu yang semakin mendapat tempat di Korea Selatan dan Indonesia.

"Berikutan pandemik, penggambaran video muzik ini dibuat secara berasingan iaitu Donghae melakukan babaknya di Korea Selatan manakala saya di Jakarta dan Bali.

"Disebabkan kami tidak dapat berjumpa, komunikasi dilakukan menerusi media sosial iaitu mesej peribadi dan panggilan video. Usaha ini dibuat untuk menguatkan lagi keserasian supaya kami tidak nampak janggal dalam video berkenaan.

"Daripada segi konsep dan jalan cerita, Donghae terus menyatakan persetujuan tanpa banyak soal. Paling menyeronokkan apabila dia turut memuji cara sebutan bahasa Korea saya yang disifatkan sebagai senang faham," cerita penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Tegar.

Ditanya apakah beliau berduet dengan lelaki itu dalam video muzik itu, Rossa memberitahu perancangan untuk berkolaborasi dengan Donghae dalam sebuah karya memang sudah dibincangkan, namun, situasi sekarang tidak mengizinkan.

"Untuk menghasilkan sebuah karya bersama ia memerlukan perancangan rapi dan dalam keadaan pandemik, agak sukar untuk dilaksanakan.

"Justeru, untuk pembikinan video muzik ini, kami hanya tampilkan Donghae sebagai pelakon.

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga wabak ini segera berakhir dan hasrat untuk mengembangkan kerjaya di Korea Selatan tercapai," ujar penyanyi yang turut meraikan sambutan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni kepada BH Online.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan