Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rifaah beri penjelasan kenapa konsert 2D dibatalkan

Sebelum ini, 2D mengadakan konsert pertama mereka berjudul “2D Continued” pada 5 Oktober 2019 seperti yang dilaporkan oleh BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Rifaah beri penjelasan kenapa konsert 2D dibatalkan

Para anggota 2D dari kiri Rayhul Firdaus, Ruslighani Iskandar, Rifa'ah Ridzuwanulhakim dan Adeep Nahar. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Kumpulan tempatan 2D merancang, namun mereka akur adalah lebih baik konsert kedua mereka di Wisma Geylang Serai ditunda sehingga ke tahun depan.

Sebelum ini, 2D mengadakan konsert pertama mereka berjudul “2D Continued” pada 5 Oktober 2019 seperti yang dilaporkan oleh BERITAmediacorp.

Mengikut perancangan, konsert kedua mereka diadakan pada 17 November lalu namun ia ditunda.

Kami menghubungi Rifaah Ridzuwanulhakim Abdol Shukor salah seorang anggota kumpulan tersebut baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan.

Mengapa kumpulan 2D ingin mengadakan konsert kedua sedangkan mereka baru sahaja mengadakan konsert pertama pada 5 Oktober lalu?

Inilah jawapan Rifaah: “Kami buat keputusan adakan sekali lagi konsert dalam masa terdekat sebab pada 5 Oktober itu ada konsert Exists dan Selebriti Soccer. Jadi kita dapat banyak maklum balas mereka nak tengok reunion 2D sebab ramai dah beli tiket konsert Exists.

“Itulah salah satu sebab kita mengadakan konsert sebulan selepas 5 Oktober itu.”

FAKTOR SINGLE TERBARU

Mereka sangkakan rancangan untuk mengadakan konsert kedua akan dipermudahkan kerana mereka sudahpun membuat persiapan untuk konsert pertama mereka.

Namun, timbul pula hal-hal lain yang membuat mereka berfikir kembali dan membuat keputusan pada 3 November untuk menunda konsert kedua agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

“Bila kita buat keputusan itu, kita tak fikir banyaklah sebab kita dah buat persiapan untuk konsert 5 Oktober jadi kita rasa insya Allah ia boleh tapi oleh kerana tercetus idea nak keluarkan single baru, saya pulak terlibat untuk Bicentennial Experience, Adeep pula menetap di KL dan terlibat untuk Gegar Vaganza,” jelas beliau lagi.

Namun demikian, kumpulan yang popular menerusi lagu Cenderawasih itu berhasrat untuk berkongsi juga dengan peminat single terbaru mereka pada konsert kedua nanti.

“Kita takut single tak siap. Saya terlibat sebagai Parameswara untuk Bicentennial Experience. Saya tak jangkakan benda ni "very demanding" (dari segi masa). Saya cakap dengan mereka kita perlukan perancangan yang lebih baik lagi,” kongsi Rifaah tanpa berselindung.

Komitmen Rifaah untuk Bicentennial Experience pula adalah sehingga hujung tahun ini di mana beliau terlibat untuk 20 persembahan sehari.

MAHU JEMPUT RAMAI ARTIS LAIN, TAPI…

Untuk konsert kedua nanti, mereka ingin mengundang teman-teman yang pernah membantu kumpulan tersebut sepanjang mereka bergelar artis selama 20 tahun.

“Saya perasan apa yang buat 17 November lebih susah sebab kita nak buat lebih personal sebab selama 2D ada selama 20 tahun, ramai dalam industri yang tolong kita. Kita nak jemput abang Sahar Lovehunters, Abang Shahrin Azhar, Zaharian Osman , abang Addy Cradle yang main gitar untuk 2D, gitaris M.Nasir iaitu abang Nan dan abang Mohar yang main seruling.

“Ada yang boleh datang, ada yang tidak untuk 17 November. Banyak benda yang kurang jadi kita buat keputusan untuk tundakan konsert 17 November,” ujar Rifaah lagi.

Menerusi temu bual ini, Rifaah juga berkongsi berita baik untuk peminat-peminat 2D bahawa mereka sudahpun merakamkan single terbaru mereka. Kali terakhir 2D merakamkan album ialah pada tahun 2000.

KENAPA LAMA SANGAT UNTUK RAKAM SINGLE BARU?

Mengapakah mengambil masa begitu lama untuk merakamkan lagu baru tanya kami kepadanya? Sambil terdiam seketika beliau menjawab: “Salah satu sebab saya rasa ialah semua ada hala-tuju sendiri dari segi muzik sebab bila kita muncul sebagai 2D kita masih muda. Bila kita dah meningkat usia kita semua ada hala tuju sendiri.”

Meskipun kesemua anggota sibuk dengan hal masing-masing, Rifaah tetap aktif dengan dunia muzik dan banyak menerbitkan lagu untuk drama-drama di saluran SURIA.

“Yang lain memang mereka tak terfikir pun nak menyanyi balik sebenarnya. Boleh dikatakan dalam masa 20 tahun kita semua cari pengalaman (ketawa). Memang tak pernah terfikir pun kita akan bergabung balik,” komennya jujur.

Kumpulan 2D suatu ketika dahulu. (Gambar: 2D)

Sesuatu yang agak menarik juga disuarakan oleh Rifaah dalam temu bual ini.

“Selama 20 tahun pada pendapat kami, takkanlah tidak ada bakat selain dari kita sebab dikir barat makin berkembang, penulis makin ramai, semakin ramai anak-anak muda dikir barat yang boleh berkarya.

“Tetapi takkanlah tidak ada satu yang lebih hebat dari kita? Jadi kita bergabung balik . Harap-harap ia bakar semangat untuk generasi baru untuk berkarya Insya Allah,” ujar beliau lagi.

LAGU-LAGU 2D DIKAJI UNTUK TESIS PROFESOR

Beliau berharap agar muzik 2D masih dapat diterima sehingga kini lebih-lebih lagi dengan buah tangan terbaru mereka pada 2020 nanti. Mereka hanya menantikan masa yang sesuai untuk merakamkan klip video single terbaru tersebut.

Apa yang menggembirakan mereka ialah ada juga Professor dari Universiti Oxford yang pernah mengkaji lagu-lagu 2D untuk tesis profesor tersebut sebelum ini.

Apabila Rifaah sempat mengajar dikir barat di sekolah-sekolah, ramai guru memberitahunya bahawa mereka menggunakan seni kata dan lagu-lagu 2D untuk mengajar di sekolah menengah.

“Kawan-kawan kita sendiri waktu zaman sekolah menengah dulu bila nak tulis karangan pinjam kata-kata dari lagu 2D. Kita pun tak pernah terfikir ia akan jadi macam ini. Dengan adanya karya kita diharapkan ia dapat disambung. Harap-harap mereka akan dapat sambungkanlah,” kata Rifaah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan