Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Remy Ishak, Puteri Aishah berdebar nantikan sambutan filem 'Pulang'

Aidilfitri kali ini membawa debaran buat pelakon berbakat besar, Remy Ishak dan pelakon yang sedang meningkat naik, Puteri Aishah.

Anggaran Waktu Membaca:
Remy Ishak, Puteri Aishah berdebar nantikan sambutan filem 'Pulang'

Remy Ishak dan Puteri Aishah membintangi filem 'Pulang'. (Gambar: Xtra)

Diterbitkan : 20 Jun 2018 08:33PM Dikemas Kini : 20 Jun 2018 08:38PM

KUALA LUMPUR: Aidilfitri kali ini membawa debaran buat pelakon berbakat besar, Remy Ishak dan pelakon yang sedang meningkat naik, Puteri Aishah.

Ini kerana kedua-dua pelakon berkenaan menghitung waktu untuk menantikan reaksi peminat dan penonton terhadap filem terbaru mereka, 'Pulang', yang dijangka menemui penonton pada 26 Julai depan, lapor Sinar Harian.

Bercerita mengenai penglibatan dalam filem arahan Khabir Bhatia itu, Remy Ishak berkata, dia meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kejayaan filem tersebut.

"Saya sangat berdebar menanti reaksi peminat terhadap hasil filem ini nanti.

"Sejujurnya saya sedar, tiada lagi mana-mana filem yang boleh dikategorikan sebagai box-office dan untuk Pulang, saya lihat ia mempunyai sinematografi yang baik, jalan cerita yang menarik dan saya harap penonton boleh terima dan seterusnya membuatkan Pulang tersenarai sebagai salah satu filem box-office.

"Malah bagi saya, keseluruhan team produksi sudah membuat yang terbaik sejak awal pembikinan pada 2016, jadi kini giliran penonton untuk membantu filem ini," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai gandingannya, pelakon berusia 36 tahun itu berkata, dia melihat Puteri Aishah sebagai orang baru yang bercita-cita besar.

"Dia sangat komited dengan kerja dia dan Khabir sendiri yang memilih dia untuk terlibat dalam filem ini dan saya percaya, pilihan Khabir tidak salah," ujarnya.

Bagi gadis berusia 23 tahun itu pula, sama seperti Remy, dia juga berdebar-debar menantikan reaksi penonton terhadap filem tersebut.

“Sejujurnya ketika terpilih membintangi filem ini, saya tidak mengenali pengarah, Khabir Bhatia. Bila mereka memuji karya Khabir sebelum ini, barulah saya menyedari siapa beliau.

“Berpeluang bergandingan dengan Remy juga satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Malah, saya memang memberi komitmen 100 peratus terhadap pembikinan cerita ini dan sentiasa terbawa-bawa watak saya ketika penggambaran Pulang,” ujarnya.

KORBAN CUTI RAYA

Dalam pada itu, berkongsi mengenai sambutan hari raya Aidilfitri, pemilik nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman itu berkata, dia pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan seperti kebiasaannya.

Katanya, ketika mula-mula terlibat dalam industri seni, kebanyakan orang yang berjumpanya meminta untuk mengambil gambar.

"Perkara yang paling seronok ketika hari raya bagi saya adalah dapat memakan rendang ayam masakan nenek dan membuat persiapan raya di mana kami masih lagi membakar sendiri lemang.

"Tapi saya tak buat persiapan berlebih-lebihan kerana cuti raya pun tak lama.

"Selepas ini saya akan sibuk dengan penggambaran drama Terima Aku Seadanya dan juga promosi filem Pulang," jelasnya.

Begitu juga dengan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu yang sanggup mengorbankan cuti rayanya untuk membantu promosi filem Pulang yang sudah bermula.

"Memandangkan saya lelaki, jadi persiapan raya pun tak buat beriya.

"Bagi saya bila hari raya, apa yang penting saya dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga.

"Tapi memandangkan rangka promosi filem Pulang sudah bermula, saya tidak kisah untuk kembali bekerja bagi membantu promosi Pulang," katanya yang lebih gemar meluangkan masa melayani anak saudara ketika bercuti.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan