Images
  • didid

Raya pertama Didicazli sebagai bapa

SINGAPURA: Dahulu beraya berdua, kini bertiga.

Buat keluarga kecil selebriti tempatan, Didicazli, sambutan Aidilfitri beliau dan isterinya, Nur Eliyana Norzlan, lebih istimewa tahun ini.

Setelah berikhtiar mendapatkan zuriat menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF), bayi berusia empat setengah bulan mereka adalah satu anugerah paling istimewa.

Nur Erina Daania dilahirkan hampir lima tahun selepas pasangan ini berumah tangga.

RAYA TAHUN INI SANGAT BERMAKNA

"Pada tarikh (5 Jun) yang sama tahun lepas kita dapat tahu yang isteri saya berbadan dua.

Dan pada tahun ini kami bersama dengan puteri kami. Tentulah rasa sangat gembira dapat beraya bertiga dengan baby comel ini," kata Didicazli, sambil mengucup kepala bayi perempuannya.

Dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka, tentunya persiapan Aidilfitri lebih sibuk.

"Untuk persiapan Hari Raya tahun ini, kami sangat ghairah jadi saya membeli baju Daania dulu sebelum membeli baju kami.

"Selepas itu kami membeli baju dengan mengikut tema dan warna baju tahun ini - tiga pasang baju yang dibeli tahun ini," kata Cik Nur Eliyana, 27 tahun, seorang guru.

MASIH KECIL SUDAH KENAL ERTI RAMADAN

Sungguhpun baru berusia empat setengah bulan, pada Ramadan yang baru berlalu, Nur Erina Daania turut menemani ibu dan bapanya bersahur.

"Baby Daania dia suka bangun sahur bersama kami untuk minum susu jadi isteri saya juga akan buat susu dan kita bersahur bertiga.

"Memanglah meriahlah pagi-pagi di rumah," kongsi Didicazli yang mengimbas kembali telatah anaknya ketika mereka sekeluarga menyambut Ramadan yang baru berlalu. 

- BERITAmediacorp/na

Top