Images
  • Ramli Sarip (2)
    (Gambar: Ramli Sarip/Facebook)

Ramli Sarip sempat ziarah arwah bapa M Nasir sedang rakan seperjuangan tidak dapat pulang

SINGAPURA: Penyanyi Ramli Sarip berkongsi bahawa beliau sempat untuk hadir bagi solat jenazah arwah bapa M Nasir yang meninggal dunia pada Khamis (28 Jan).

Allahyarham Haji Mohamed bin Sam menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Singapura pada pukul 7.30 pagi Khamis (28 Jan), menurut laporan Berita Harian Malaysia.

Dalam catatan Facebook pada Jumaat (29 Jan), Ramli Sarip berkata beliau sempat memberi penghormatan terakhir kepada arwah bapa kepada rakan seperjuangannya dari Singapura itu.

"Sempat bersolat jenazah...mungkin ini untuk saya bersama keluarga Allahyarham kerana ketika saya masih di Singapura sementara Nasir dan keluarganya di KL dan tidak dapat pulang menziarahi Ayahnya buat kali terakhir".


Disebabkan pandemik COVID-19, M Nasir sekeluarga tidak dapat pulang ke Singapura untuk menziarahi bapanya buat kali terakhir, lapor Berita Harian Malaysia.

"Kami sudah berusaha membuat permohonan pulang ke Singapura, namun pihak berkuasa tidak mengizinkan akibat COVID-19," kata isteri M Nasir, Marlia Musa sambil menambah suaminya reda dengan keadaan itu.

Kali terakhir pasangan itu bertemu Allahyarham adalah sekitar setahun lalu sebelum pandemik bermula, menurut Berita Harian Malaysia.

- BERITAmediacorp/ha

Top