Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rami Malek enggan watak pengganas 'didorong agama' dalam filem Bond baru

Pelakon Hollywood Rami Malek mendedahkan beliau hanya bersetuju untuk memainkan watak jahat dalam James Bond setelah diyakinkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan keagamaan atau ideologi.

Anggaran Waktu Membaca:
Rami Malek enggan watak pengganas 'didorong agama' dalam filem Bond baru

Rami Malek menghadiri acara pertunjukan fesyen 'The 2019 Met Gala Celebrating Camp: Notes on Fashion' di Muzium Seni Metropolitan pada 6 Mei 2019. (Gambar: DIMITRIOS KAMBOURIS/AFP)

Diterbitkan : 04 Jul 2019 01:57PM Dikemas Kini : 04 Jul 2019 02:42PM

LONDON: Pelakon Hollywood Rami Malek mendedahkan beliau hanya bersetuju untuk memainkan watak jahat dalam filem James Bond setelah diyakinkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan keagamaan atau ideologi.

"Saya katakan, 'Kami tidak boleh mengaitkannya dengan mana-mana tindakan pengganasan yang mencerminkan sesuatu ideologi atau agama,'" ujar pelakon itu ketika diwawancara Daily Mirror.

"'Itu bukan sesuatu yang akan saya layan. Jika kerana itu saya menjadi pilihan, anda boleh lupakan saya,'" cerita Malek, mengenai syarat yang ditetapkan dari awal.

Malek, yang berasal dari Mesir, memenangi anugerah Oscar bagi wataknya sebagai Freddie Mercury yakni penyanyi kumpulan Queen dalam filem Bohemian Rhapsody.

Pelakon berusia 38 tahun itu kemudian dipilih sebagai antara barisan pelakon untuk membintangi filem Bond ke-25, yang masih belum bertajuk lagi, dan kini sedang menjalani penggambarannya di United Kingdom.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan di akhbar-akhbar Daily Mirror dan Daily Express, Malek mendedahkan beliau bercakap kepada pengarah Cary Fukunaga untuk mengesahkan bahawa beliau tidak akan mendukung watak seorang fundamentalis keagamaan.

"Jelas itu bukan visinya," tutur pelakon itu.

"Beliau seorang pengganas jenis lain."

Menurut Malek, beliau akan menjayakan "seorang watak hebat" dan "amat teruja" untuk membintangi filem tersebut yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada April 2020.

"Ia adalah satu lagi skrip amat bijak daripada orang yang sudahpun menentukan apa yang mereka mahukan dalam filem itu," kata beliau lanjut.

Menurut BBC News, watak yang didukung oleh Malek digambarkan sebagai "seorang penjahat penuh misteri yang bersenjatakan teknologi baru berbahaya" dalam ringkasan jalan cerita rasmi filem tersebut.

Pemilihan Malek diumumkan apabila filem Bond terbaru - yang kini dikenali sebagai "Bond 25" - memulakan penggambarannya pada April lalu.

Sejak itu, penerbitan filem tersebut - yang menandakan kali kelima Daniel Craig membawakan watak selaku ejen risik James Bond sering menjadi tajuk berita.

Pada Mei lalu, Craig mengalami kecederaan semasa melakukan aksi di lokasi penggambaran di Jamaica yang memerlukannya menjalani pembedahan buku lali.

Ini disusuli dengan khabar angin pada Jun tentang seorang anggota kru mengalami kecederaan kecil semasa penggambaran letupan yang dikawal di Pinewood Studios di Buckinghamshire.

Awal minggu ini, menurut BBC News, penyanyi Grace Jones - pemegang watak jahat filem Bond pada 1985 yang bertajuk 'A View to a Kill' - dilaporkan menolak tawaran memainkan peranan kameo.

Para penebit filem bagaimanapun belum memberikan sebarang ulasan berhubung laporan-laporan itu mahupun komen-komen Malek yang dilaporkan dibuat di new York setelah beliau tamat menjalani penggambaran siri televisyen 'Mr Robot'. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan