Images
  • khai bahar
    (Gambar: Instagram/@khaibahar94)

‘Raja Smule’ Khai Bahar akan adakan konsert solo pertama di Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Malaysia Khai Bahar yang mencipta nama dalam dunia nyanyian menerusi aplikasi Smule pada 2016, akan mengadakan konsert solo pertamanya di Istana Budaya pada Mac ini.

Konsert "Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia" akan diadakan selama dua hari bermula 27 Mac.

Penyanyi tersebut yang nama sebenarnya ialah Muhammad Khairul Baharuddin dan diberi gelaran "Raja Smule" oleh para peminat di rantau Asia, turut mendedahkan bahawa konsert sulungnya itu akan membawa kelainan.

"Konsert itu akan memberikan gambaran tentang satu lagi sosok saya yang tidak diketahui oleh para peminat, di mana saya juga berupaya menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa," katanya.

Anak kelahiran Kangar itu turut mendedahkan bahawa konsert itu ibarat satu penghormatan kepada pelibatannya dalam industri muzik tempatan, meskipun ia hanya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Khai, beliau akan menyanyikan 20 buah lagu termasuk lagu karyanya sendiri dan berharap konsert itu akan memberi inspirasi kepada para penyanyi dari aplikasi Smule untuk menyerlahkan bakat mereka kepada seluruh dunia.

- BERNAMA/HA/ha

Top