Images
  • mania

Pusingan akhir SG Mania 2019: 3 finalis wanita berentap malam ini

SINGAPURA: Tiga penyanyi tempatan bakal berentap bagi merebut mahkota SG Mania 2019.

Selepas sembilan minggu berentap dalam SG Mania dan mengenepikan sembilan peserta lain, seorang daripada tiga finalis wanita ini - Eka Mairina, Liwani dan Rahila Rashun - akan diangkat sebagai 'yang terbaik daripada yang terbaik'.

Pusingan malam ini (29 Okt) tidak kurang mencabar.

Mereka akan membawakan lagu solo dan kemudian berduet dengan Jatt Ali, Zaleha Hamid dan Nuradee.

Dua finalis kemudian akan mara ke pusingan 'face-off' dan menyanyikan lagu Sejuta Wajah dari Sweet Charity dengan versi masing-masing.

Pihak BERITAmediacorp bertanyakan langsung kepada para peserta, apa agaknya peluang mereka untuk menang malam ini dan ini jawapan mereka.

"Jujur, kalau saya, saya rasa peluang saya sangat kecil sekali kerana ada faktor-faktor tertentu. Tapi tetap saya tidak akan menyerah, saya tetap akan memberikan yang terbaik," ujar penyanyi Eka Mairina.

Selain Eka Mairina, Rahila juga berkongsi peluangnya untuk dinobatkan sebagai juara.

"Tempat kedua atau ketiga tidak penting. Janji pengalaman yang Rahila dah lalui menerusi SG Mania ini boleh saya simpan sampai bila-bila," katanya.

Seorang lagi finalis SG Mania 2019 pula berkongsi niatnya memasuki pertandingan itu.

"Saya masuk rancangan ni pun saya tak rancang. Saya tak sangka saya akan pergi ke final. Alhamdulillah saya ke peringkat akhir sekarang, jadi saya hanya nak menghiburkan orang," kongsi Liwani.

Ternyata, para peserta agak merendah diri tentang peluang masing-masing untuk menjadi 'Nombor 1'.

Yang pasti, juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai S$20,000.  

- BERITAmediacorp/na

Top