Images
  • AC MAIN
    Dato' AC Mizal. (Gambar: Instagram / acmizal_official)

Punchline DAC sajian terbaru AC Mizal dengan 'gelak tanpa henti'

KUALA LUMPUR: "Shah Alam, peace yo!" cukup sinonim dengan pengacara AC Mizal yang popular dengan rancangan hiburan Maharaja Lawak Mega dan juga AC Di Sini.

Terbaharu, pengacara yang berasal dari Muar, Johor ini hadir dengan program terbaru iaitu Punchline DAC, lapor Malaysiakini pada Khamis (13 Ogos).

Program yang berdurasi selama sejam itu akan menyaksikan AC Mizal menemu bual selebriti tanah air sambil melakukan pelbagai aktiviti seperti trivia, sketsa, dan juga bermain pelbagai permainan untuk hiburan penonton.

Apa yang lebih menarik, juru solek yang terkenal dengan sifat latahnya iaitu PS Mansur juga turut memeriahkan Punchline DAC sebagai 'sidekick' kepada AC.

Antara barisan selebriti yang akan bersama AC sepanjang program tersebut ditayangkan ialah Sharifah Amani, kumpulan Dolla, peserta Big Stage 2020 dan 'maestro muzik' Ramli MS.

Punchline DAC sudah mula bersiaran di saluran Astro Warna (127) dan Warna HD (107) pada setiap Rabu jam 9.00 malam.

Program yang menjanjikan pengalaman tontonan ‘gelak tidak henti’ itu juga boleh distrim secara percuma bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO dan juga On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

- Agensi berita/AW/tq

Top