Images
  • scha awal
    (Gambar: Agensi berita)

Proses mediasi jumlah ganti rugi kes saman Awal, Scha dengan syarikat tekstil pada 17 Jan 2022

KUALA LUMPUR: Proses mediasi bagi menyelesaikan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar syarikat pembekal tekstil D'Haja (Malaysia) Sdn Bhd kepada pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya ditetapkan pada 17 Januari tahun depan di Mahkamah Tinggi.

Pada 8 September 2020, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya pihak yang terlibat berbincang untuk menyelesaikan jumlah ganti rugi secara baik menerusi mediasi tanpa melalui proses rayuan.

D’Haja memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan syarikat itu membayar ganti rugi RM345,305 (S$111,388) kepada Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.

Mahkamah Sesyen membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan pasangan suami isteri itu terhadap D’Haja berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Peguam Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili D'Haja berkata proses mediasi akan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Firuz Jaffril.

“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai oleh kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 19 Jan 2022 dan pada tarikh itu mahkamah akan menetapkan satu tarikh lain untuk pendengaran rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini (23 Sep).

Mediasi ialah proses bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.

D’Haja memfailkan rayuan pada 3 April 2019 atas alasan Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika membenarkan tuntutan saman pasangan selebriti berkenaan pada 27 Mac 2019.

Mahkamah Sesyen itu juga membenarkan tuntutan balas difailkan D'Haja serta memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 (S$17,672) selepas mendapati pasangan berkenaan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Menerusi saman yang difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha berkata mereka sudah menandatangani kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon dengan D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun iaitu hingga 10 Oktober 2018.

Bagaimanapun, mereka mendakwa D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan sejumlah 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod urus niaga jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

- BERNAMA/HA/ha

Top