Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Program Ziarah Finas Prihatin buka peluang 'orang lama' kembali semula dalam industri

Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin bukan sahaja bertujuan mengiktiraf jasa seniman dan seniwati veteran serta penyanyi lama tetapi turut membuka peluang untuk mereka kembali semula dalam industri.

Anggaran Waktu Membaca:
Program Ziarah Finas Prihatin buka peluang 'orang lama' kembali semula dalam industri

Encik Zakaria Abdul Hamid. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Apr 2021 03:47PM Dikemas Kini : 22 Apr 2021 03:50PM

KUALA LUMPUR: Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin bukan sahaja bertujuan mengiktiraf jasa seniman dan seniwati veteran serta penyanyi lama tetapi turut membuka peluang untuk mereka kembali semula dalam industri.

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata program itu disifatkan sebagai serampang dua mata kerana pada masa yang sama dapat memberitahu kepada pihak industri keadaan terkini golongan seni itu setelah sekian lama mereka ‘sunyi’ daripada industri dan dilupakan.

“Program ini amat baik. Selain dapat bantu beri penghargaan kepada artis lama, sebenarnya ada kes selepas lawatan kita, dengan bantuan pihak media juga ada penyanyi, pelakon yang mendapat tawaran kembali semula dalam industri.

“Sebelum ini mungkin penerbit atau industri sudah lupa pada mereka, tetapi apabila cerita mereka dinaikkan semula, mereka dapat tawaran kembali dalam industri sebagai contoh Mat Over dan penyanyi Aspalela Abdullah yang telah muncul semula membuat persembahan ketika sambutan Radio Televisyen Malaysia ke-75,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi penyanyi kumpulan Laksamana, Nizam Arjuna dalam program Ziarah Finas Prihatin di sini hari ini.

Katanya program itu yang memasuki siri 3.0, akan menyantuni 50 artis sepanjang bulan Ramadan ini dan sejak dijalankan pada tahun lepas, seramai 104 orang seni telah disantuni pihaknya.

“Walaupun Finas lebih kepada perfileman tetapi muzik juga sebahagian daripada filem. Tanpa muzik, filem juga tidak akan jalan, jadi kami ambil pendekatan di samping kita ziarah para pelakon, kita ziarah juga para penyanyi tempatan khususnya orang-orang lama,” katanya.

Sementara itu, Nizam yang merupakan penyanyi utama kumpulan Laksamana yang pernah terkenal sekitar era 90-an di persada muzik rock tanah air dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta, berkata apa yang dilakukan Finas ternyata membuka matanya bahawa Finas kini bukan lagi hanya untuk orang filem.

“Saya pada awalnya memang agak terperanjat bahawa ada perbadanan dalam kerajaan iaitu Finas yang sinonim dengan industri perfileman mahu ziarah saya yang merupakan penyanyi.

“Saya kira ini merupakan sinar baru bagi kami golongan penyanyi untuk mengadu nasib kerana kami tiada badan khusus yang menjaga kebajikan kami, macam Seniman ia terlalu terbuka kepada karyawan,” katanya.

Nizam yang berusia 55 tahun kini menyara keluarganya dengan menjual maruku dan dalam masa yang sama perlu menjaga isterinya Cik Salwati Zulkifli, 46, yang menghidap barah payu dara.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan