Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Program Ziarah Finas buka ruang kepada artis veteran sertai semula industri seni M'sia

Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin 3.0 membuka ruang kepada bintang veteran tempatan untuk membuat kemunculan semula bagi memeriahkan kembali industri seni tanah air.

Anggaran Waktu Membaca:
Program Ziarah Finas buka ruang kepada artis veteran sertai semula industri seni M'sia

Zakaria Abdul Hamid menyampaikan sumbangan kepada bintang veteran legenda, Julie Sudiro sempena Program Ziarah Finas Prihatin 3.0. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Apr 2021 06:43PM Dikemas Kini : 14 Apr 2021 06:44PM

KUALA LUMPUR: Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin 3.0 membuka ruang kepada bintang veteran tempatan untuk membuat kemunculan semula bagi memeriahkan kembali industri seni tanah air.

Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid berkata menerusi platfom itu penerbit berpeluang menghubungi ‘orang lama’ dalam industri yang menyepi dan terpinggir bagi menawarkan peluang berlakon serta menyanyi seperti pernah diceburi mereka sebelum ini. 

"Program Finas Prihatin membuka ruang kepada artis veteran yang dilupakan. Selain daripada ziarah, ada juga artis yang diziarahi mendapat peluang untuk bergiat semula dalam bidang seni masing-masing,” katanya selepas Program Ziarah Finas Prihatin 3.0 bersama penggiat industri kreatif hari ini (14 Apr).

Menerusi lawatan kali ini, tujuh penggiat seni veteran telah dilawati antaranya pelakon Rahim Razali dan Rozie Othman serta penyanyi veteran Julie Sudiro dengan masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM1,000 (S$323) serta barangan keperluan asas.

Barangan keperluan asas itu disumbangkan oleh rakan strategik Finas iaitu CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam, GISB Holdings, Yayasan Felda, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

Sementara itu, Rahim yang pernah menjadi pengarah bagi filem seperti Abang, Tsue Feh Sofiah dan Anak Sarawak berkata meskipun mencecah usia 82 tahun, beliau masih lagi aktif dalam industri perfileman walaupun tawaran kini tidak sebanyak dulu.

"Saya akan terus aktif dalam bidang saya amat sukai iaitu perfileman, kebudayaan serta kesenian dan kalau dipanjangkan umur, saya menaruh harapan dan berniat untuk melahirkan satu lagi filem terakhir sebagai penulis serta pengarah, sama ada tahun ini atau tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu pop, keroncong dan jazz handalan Julie turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan serta sumbangan yang diterima kerana ia membuktikan masih ada yang mengingati beliau dan rakan-rakan seperjuangannya.

Sebanyak 50 penggiat seni veteran yang dilawati sepanjang Ziarah Finas 3.0 diadakan pada bulan Ramadan dengan jumlah dana sebanyak RM50,000 (S$16,195).

Program itu bertujuan untuk menyalurkan sumbangan dan penghargaan kepada penggiat industri kreatif terutama artis veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan COVID-19.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan