Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Polis sahkan tahan 'artis' Singapura dituduh curi wang artis Indonesia

Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (18 Jun) mengesahkan pihaknya sudah menahan seorang individu berhubung satu kes melibatkan artis Singapura yang dituduh mencuri wang dari seorang personaliti Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (18 Jun) mengesahkan pihaknya sudah menahan seorang individu berhubung satu kes melibatkan artis Singapura yang dituduh mencuri wang dari seorang personaliti Indonesia.

Media Malaysia dan Indonesia melaporkan baru-baru ini pelakon dan ahli politik Indonesia Raja Yunika Putri mendakwa dirinya menjadi mangsa curi dalam satu kejadian pada 7 Jun.

WANG DILESAPKAN 'ARTIS S'PURA BERKERJAYA DI M'SIA'

Menurut laman media Indonesia haluankepri.com, Raja Yunika bertemu dengan individu yang digelar 'AA' di Clarke Quay pada hari tersebut.

(Gambar: Instagram/rajayunika)

Raja Yunika menyifatkan AA, 29 tahun, sebagai "penyanyi terkenal kelahiran Singapura dan banyak berkarier di Malaysia".

Menurut laporan tersebut, Raja Yunika meninggalkan dompetnya yang berisi wang dolar Singapura dan rupiah di tempat duduk mereka dan pergi membuat bayaran di kaunter.

“Setelah AA pergi, saya mengambil dompet saya yang sebelumnya berisi wang dolar dan rupiah, ternyata sudah kosong. Dan tentunya saya mengesyaki AA yang mengambil wang tersebut kerana sebelum itu dia yang berada di tempat duduk bersama beg itu. Dan ketika saya ancam akan melaporkan hal ini kepada polis, AA malah mencabar saya, mempersilakan saya membuat aduan polis,” ujar Yunika seperti dilaporkan haluankepri.

Menurut laporan itu lagi, Raja Yunika membuat aduan polis dengan mendapatkan nasihat Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dikenalinya.

NAMA 'ALIFF AZIZ' DALAM KERTAS ADUAN, SUDAH DITAHAN

Seorang pembaca mengirimkan petikan gambar aduan polis yang dikatakan berkait dengan kes tersebut.

Kertas aduan itu menamakan Raja Yunika Perdhana Putri sebagai pelapor berkenaan satu insiden kecurian yang berlaku pada 7 Jun. Beberapa bahagian lain aduan itu, seperti maklumat peribadi Raja Yunika, tidak didedahkan.

(Gambar ihsan pembaca BERITAmediacorp)

(Gambar ihsan pembaca BERITAmediacorp)

Namun kenyataan Raja Yunika yang tertulis dalam dokumen itu menyebut 'Aliff Aziz' yang disifatkan sebagai 'seorang terkenal dari Malaysia' yang beliau 'mengenali menerusi Instagram selama sebulan'.

"Pihak polis mengesahkan aduan dibuat dan siasatan sedang dijalankan," kata seorang jurucakap polis semasa menjawab emel pertanyaan BERITAmediacorp yang turut melampirkan gambar aduan itu.

Menjawab pertanyaan lanjut BERITAmediacorp, jurucakap polis turut mengesahkan individu terlibat sudah ditahan pihaknya.

Namun, SPF tidak dapat mengesahkan butiran penangkapan tersebut atau sama ada orang yang ditangkap itu merujuk kepada artis tempatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan