Images
  • serina
    (Gambar: Instagram/@serinaredzuawan)

Polis M'sia siasat perkahwinan anak Chef Wan dengan pegawai polis

IPOH: Kes perkahwinan seorang pegawai polis yang bernikah dengan anak perempuan chef selebriti popular, tanpa mendapat restu daripada isteri pertamanya, kini di bawah siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada JIPS IPK Perlis, selepas isteri pertama yang bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej antarabangsa di Kampar membuat laporan kepada JIPS IPK Perak mengenai pernikahan berkenaan.

“Pada mulanya memang dia (pegawai polis) itu bertugas di sini sebagai pegawai trafik dan telah bertukar sebagai pegawai siasatan jenayah di IPK Perlis pada 2019. Saya difahamkan perkahwinan dia berdaftar secara sah dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) di Perlis, jadi lazimnya kalau (perkahwinan) tidak minta kebenaran, JIPS akan kenakan tindakan tatatertib.

“Jadi, (tindakan) itu bergantung kepada siasatan dijalankan. Saya tidak mahu komen lebih pasal isu ini kerana siasatan dijalankan oleh JIPS Perlis,” katanya kepada pemberita.

Ketua Polis Mior Faridalathrash diminta mengulas laporan yang dibuat seorang wanita Nur Hamizah Shaffee, 34, kepada JIPS Perak pada 2 Mac lalu, berhubung pernikahan suaminya Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin, 35, dengan pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, yang juga merupakan anak kepada Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Dalam aduannya pada 18 Feb lalu, Nur Hamizah dimaklumkan oleh Meor Mohammad Aidid mengenai pernikahannya dengan Serina, yang berlaku tanpa kebenarannya selaku isteri pertama. 

Bagaimanapun, Nur Hamizah berkata beliau telah diceraikan Meor Mohammad Aidid pada 9 Mac lalu di mana pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos 2015 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

- BERNAMA/HA/ha

Top