Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

PM Ardern selar filem berkisar serangan masjid New Zealand 2019

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Isnin (14 Jun) mengkritik filem mengenai responsnya terhadap serangan ke atas masjid di Christchurch pada 2019 dan menyifatkan penerbitan filem tersebut sebagai tidak sesuai dan menumpukan fokus kepada subjek yang salah.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Ardern selar filem berkisar serangan masjid New Zealand 2019

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 Jun 2021 09:26PM Dikemas Kini : 14 Jun 2021 09:33PM

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Isnin (14 Jun) mengkritik filem mengenai responsnya terhadap serangan ke atas masjid di Christchurch pada 2019 dan menyifatkan penerbitan filem tersebut sebagai tidak sesuai dan menumpukan fokus kepada subjek yang salah.

Filem yang disokong Amerika Syarikat berjudul "They Are Us" itu mencetuskan reaksi yang membangkitkan kemarahan umat Islam di New Zealand, dengan para pemimpin masyarakat menyelar projek itu sebagai naratif untuk "menebus maruah orang kulit putih".

PM Ardern berkata, serangan itu - yang berlaku apabila seorang lelaki pelampau kulit putih yang bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah masjid ketika solat Jumaat, membunuh 51 jemaah dan mencederakan 40 yang lain - masih "sangat sensitif" dalam kalangan warga New Zealand.

Menurut beliau, para pembuat filem tidak berbincang mahupun mendapatkan pandangannya mengenai filem itu, yang akan dibintangi oleh Rose Byrne dari Australia yang akan memegang watak perdana menteri itu.

"Pada pandangan saya, yang merupakan satu pandangan peribadi, ia masih terlalu awal dan sangat sensitif bagi New Zealand," kata Cik Ardern kepada TVNZ.

"Dan walaupun ada begitu banyak kisah yang harus diceritakan pada suatu ketika nanti, saya tidak menganggap kisah saya ini adalah salah satu daripadanya - ini adalah kisah masyarakat, kisah keluarga."

Salah seorang penerbit filem itu, Philippa Campbell, menarik diri daripada projek tersebut menyusuli komen daripada Cik Ardern, dengan mengatakan beliau menyesali kejutan dan keperitan yang ditimbulkannya.

Cik Ardern dipuji masyarakat antarabangsa atas caranya menguruskan tragedi itu dengan penuh simpati dan sikap inklusif menyusuli tembakan beramai-ramai yang disifatkan sebagai paling dahsyat dalam sejarah moden New Zealand.

"JANGAN CUBA KAUT KEUNTUNGAN DARIPADA TRAGEDI KAMI"

Petisyen dari Persatuan Belia Islam Nasional yang meminta agar penerbitan filem itu dibatalkan berhasil mengumpul lebih 60,000 tandatangan.

Persatuan itu menyatakan filem yang dirancang itu "tidak mengendahkan mangsa dan mereka yang terselamat dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada respons seorang wanita kulit putih".

"Entiti dan individu tidak sepatutnya cuba untuk memasarkan atau mengaut keuntungan daripada tragedi yang menimpa masyarakat kita,"kata pengerusi bersama persatuan tersebut, Haris Murtaza.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan