Images
  • POSTER
    Piala Selebriti Singapura-Malaysia 2019 bakal berlangsung pada 5 Oktober. (Gambar-Gambar: Boss Productions Pte Ltd & Impact Music & Entertainment)

Piala Selebriti S'pura-M'sia 2019 tampilkan ramai legenda bola sepak, artis popular

BERITAmediacorp: Satu perlawanan persahabatan yang membariskan legenda bola sepak Singapura dengan artis-artis Malaysia akan diadakan di Stadium Jalan Besar pada hujung minggu ini.

Antara bekas pemain kebangsaan Singapura yang akan turun padang bagi merebut Piala Selebriti Singapura-Malaysia 2019 pada Sabtu (5 Okt) adalah bekas kapten pasukan negara Fandi Ahmad, Malek Awab, Noh Alam Shah dan Yazid Yasin.

4 BEKAS KAPTEN S'PURA TURUN PADANG

Selain Fandi, tiga lagi bekas kapten negara, Nazri Nasir, Razali Saad dan Samad Allapitchay juga akan beraksi dalam perlawanan muhibah ini.

Dari seberang tambak pula, wajah-wajah yang menjadi idola dan pujaan hati beribu-ribu peminat melalui siri drama atau album rakaman akan mewakili Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC).

Mereka termasuk Syed Aiman, Tomok New Boyz, Black Hanifah dan Akim dari kugiran Akim & The Majistret.

Pelakon-pelakon popular dari Malaysia seperti Kamal Adli, Fahrin Ahmad dan Yasin Senario juga akan cuba membolosi benteng pertahanan pasukan Singapura.


(Gambar sebahagian daripada anggota pasukan Singapura (atas) dan pasukan MASC (bawah).)

KEMBALIKAN SORAKAN KALLANG DI JALAN BESAR

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp, Razali Saad berkata: “Inilah satu-satu masa untuk penonton datang melihat kami yang dulunya memenuhkan stadium semasa perlawanan Piala Malaysia dan mengulanginya lagi (zaman kegemilangan itu)."

Ikon bola sepak Singapura, Fandi Ahmad pula berharap para peminat dan penyokong akan dapat menyemarakkan lagi suasana di Stadium Jalan Besar.

“Saya harap ramai peminat dan penonton semua datang! Mudah-mudahan mereka semua masih ingat pada kita. Walaupun kita bermain di Stadium Jalan Besar, sorakannya kurang berbanding semasa di Stadium Negara (Kallang) dulu, tapi kita harap dengan dua atau tiga ribu orang yang datang, dapatlah memeriahkan lagi acara ini dan meraih pengalaman yang baik,” ujar jurulatih pasukan bola sepak Singapura itu.

KEDUA-DUA PASUKAN SUDAH BERBULAN GIGIH BERLATIH

BERITAmediacorp difahamkan bahawa kedua-dua pasukan sudah memulakan persiapan dan berlatih dengan gigih sejak beberapa bulan lalu.

Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Tomok berkongsi bahawa pasukan MASC yang dianggotainya sudah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan di Malaysia sebagai persiapan menjelang pertandingan ini. Tomok turut menjanjikan persaingan yang hebat pada 5 Oktober ini.

“MASC ada buat beberapa persiapan di Malaysia untuk menguatkan pasukan kami dari segi benteng pertahanannya (defence), midfield (bahagian tengah), striker (penyerang), semenjak beberapa bulan sejak kami dapat tahu tentang perlawanan ini. Jadi kami sudah mula mengadakan perlawanan persahabatan di sini.”

“MASC menjanjikan perlawanan yang hebat. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan peminat-peminat di Singapura. Jumpa anda pada Sabtu (5 Okt) ini!”

TERUJA DAPAT MAIN SATU PADANG DENGAN LEGENDA S'PURA

Secara peribadi, Tomok memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau teruja dapat bertemu dan berkongsi padang dengan bekas pemain bola sepak Singapura. Beliau malah menyifatkan bekas pemain Singapura sebagai idola dan legenda.


(Gambar Tomok di salah satu perlawanan persahabatan di Malaysia. Gambar: @tomokofficial/Instagram)

“Kita tahu mereka sudah bermain banyak perlawanan dengan pasukan-pasukan dan pemain profesional dari negara-negara lain. Jadi sebagai peminat bola sepak, dapat bermain dengan pemain-pemain profesional ini bagi saya, adalah satu penghargaan buat saya dan juga pasukan MASC. Saya memang tidak sabar untuk bertemu idola-idola dan “abang-abang” saya daripada pasukan bola sepak nasional Singapura."

HASIL PENJUALAN TIKET AKAN DISALURKAN KEPADA BADAN KEMANUSIAAN

Sejauh ini, acara anjuran Boss Production Pte Ltd dengan kerjasama Impact Music & Entertainment itu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para peminat dan penyokong kedua-dua pasukan.

Pihak penganjur juga berharap agar perlawanan persahabatan ini dapat mengeratkan lagi tali silaturahim dan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara, sambil mengembalikan zaman kegemilangan Piala Malaysia.

Pengarah Urusan Impact Music & Entertainment Rahimah Sukor yang lebih gemar disapa Emma mendedahkan bahawa lebih 2,000 tiket sudah dijual sejauh ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada badan kemanusiaan.

“Sejauh ini pihak syarikat Boss Production Pte Ltd sudah berjaya menembusi 2,000 jualan tiket. Kami berharap acara ini dapat mengembalikan zaman kegemilangan para pemain bola sepak Singapura. Pastinya semua merindui detik-detik tersebut.”

Pihak penganjur amat berbesar hati dengan sumbangan dan sokongan yang diterima daripada para artis dan juga pihak-pihak yang tampil untuk menaja.


(Gambar saksikan persembahan oleh Izzue Islam (kiri) dan Andi Bernadee (kanan).)

Selain menyaksikan perlawanan bola sepak, para penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan oleh artis-artis Malaysia termasuk Izzue Islam dan peserta musim pertama pertandingan nyanyian Big Stage Andi Bernadee, yang terkenal dengan lagu Donde.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Piala Selebriti Singapura- Malaysia 2019 boleh dibeli pada harga S$20 untuk orang dewasa dan S$8 bagi kanak-kanak menerusi laman rasmi SISTIC.

- BERITAmediacorp/ai

Top