Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pesta Perdana ke-15: 'Bantal Buruk Saloma' terima pencalonan terbanyak - 11 kategori

Senarai pencalonan Pesta Perdana ke-15 diumumkan hari ini (21 Feb) dengan drama 'Bantal Buruk Saloma' mendapat pencalonan paling banyak - iaitu 11 pencalonan kesemuanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Perdana ke-15: 'Bantal Buruk Saloma' terima pencalonan terbanyak - 11 kategori

Barisan pelakon yang dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu - Drama Khas. (Gambar: Alif Amsyar)

SINGAPURA: Senarai pencalonan Pesta Perdana ke-15 diumumkan hari ini (21 Feb) dengan drama 'Bantal Buruk Saloma' mendapat pencalonan paling banyak - iaitu 11 pencalonan kesemuanya.

Pencalonan kedua terbanyak diterima oleh drama bertajuk Tujuh Hari, terbitan Mediacorp Eaglevision, yang mendapat 10 pencalonan.

Kesemuanya, lebih 300 penyertaan diterima bagi anugerah tahun ini, yang bertujuan mengiktiraf bakat-bakat dalam industri seni lakonan tempatan. Sebanyak 31 anugerah termasuk Anugerah Perdana Emas akan disampaikan pada malam acara Pesta Perdana pada 30 Mac nanti.

Senarai pencalonan dan butiran bagi Pesta Perdana ke-15 itu, yang bakal dihoskan oleh AB Shaik dan Farhana M Noor, didedahkan dalam satu sidang media hari ini (21 Feb) oleh Suria.

4 ANGGOTA KELUARGA J.A HALIM DAPAT PENCALONAN!

Antara berita paling menarik dalam senarai pencalonan kali ini ialah jumlah paling banyak pencalonan bakat-bakat seni lakonan yang mempunyai talian keluarga.

Keluarga J.A Halim mendahului senarai ini dengan empat anggota keluarganya membolot 5 pencalonan dalam pelbagai kategori. Ini termasuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi dirinya (Gunting) dan isterinya Aminah Omar dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Drama Bersiri (6x7 Sr 1).

(Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

Menariknya, menantu Aminah, Fizah Nizam mendapat dua pencalonan dalam kategori yang sama (6x7 Siri 1 & Firasat Siri 2). Bermakna, menantu dan ibu mentua berentap untuk piala yang sama! Suami Fizah, Helmindra JA Halim pula bertanding dalam kategori Videografi Terbaik (Naluri Ayah).

Dalam pada itu, pasangan adik-beradik yang bukan calang-calang lagi dalam industri seni lakonan, Sani Hussin dan Rosita Hussin turut mendapat pencalonan. Sani bagi Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Firasat Sr 2), sementara Rosita bagi Pelakon Wanita Utama Terbaik (Tekan Minyak) dan Pelakon Wanita Pembantu Terbaik bagi Drama Khas (Takbir Nan Syahdu).

Selain itu, dua pasangan suami isteri juga mendapat pencalonan iaitu - Seriwahyuni Jaes dan suaminya, R. Azmann, serta Faishal Ishak dan isterinya, Umie Isa. Bintang cilik, Danial Nazim, pula dicalonkan buat kali pertama bersama ibunya, Haslinna Ja'aman.

30 BAKAT TERSENARAI SEBAGAI CALON KALI PERTAMA

Pesta Perdana kali ini turut menyaksikan seramai 30 orang tersenarai sebagai calon kali pertama dalam kategori lakonan dan kreatif. Dalam kalangan calon-calon kali pertama yang tersenarai termasuklah seorang 'muka lama' - pelakon Erwin Shah Dawson yang kini aktif di Malaysia.

Beliau dicalonkan dalam Kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu menerusi drama Kisah Tok Kadi Siri 2.

"Pencalonan ini membuat saya gembira sebab saya sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri dan alhamdulillah, dapat pencalonan itu dah (kira) dapat pengiktirafan, dah cukup lah. Menang tak menang, bagi saya sekarang ini saya sudahpun seorang pemenang," kongsi Erwin Shah Dawson gembira.

Drama bersiri 'Bantal Buruk Saloma', yang mengisahkan kehidupan anak-anak titipan, antara lain dicalonkan bagi kategori Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Arahan Terbaik dan Suntingan Terbaik.

"Sebenarnya ini di luar jangkaan saya kerana saya tidak rasa drama ini akan mempunyai kesan yang sebegitu besar, tetapi dari segi jumlah pencalonan saya gembira sebab semasa penggambaran itu, saya rasa ada keikhlasan," ujar pengarah drama Bantal Buruk Saloma, Muhammad Mahfuz.

PENCALONAN BAKAT-BAKAT DARI PERSADA ANTARABANGSA

Acara penganugerahan itu juga menampilkan pencalonan beberapa siri drama dan barisan pelakon yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Antaranya adalah drama bersiri SR115, pemenang Anugerah Akademi Kreatif Asia bagi Skrip Asli Terbaik. Ia berentap dengan calon-calon drama lain seperti "Bantal Buruk Saloma" bagi kategori Suntingan Terbaik, Arahan Terbaik dan Drama Terbaik.

Pelakon Malaysia Beto Kusyairi pula sekali lagi tersenarai dalamkalangan lima calon Pelakon Terbaik bagi drama bersiri dan berentap dengan calon lain seperti Taufik Batisah, Izzat Yusoff, Fir Rahman dan Sufian Ahmad.

Secara keseluruhan, syarikat penerbitan Mediacorp Eaglevision mendahului jumlah pencalonan dengan sebanyak 51 pencalonan. Ia diikuti dengan syarikat Papahan Films yang mendapat 14 pencalonan dan syarikat Shortman Films dengan 11 pencalonan.

ACARA BARU: KARNIVAL KHAS "VIVA PESTA!"

Istimewa bagi acara Pesta Perdana ke-15 ini, sebuah karnival khas akan diadakan beberapa minggu sebelum acara penganugerahan itu.

Karnival khas "Viva Pesta!" yang dianjurkan buat pertama kalinya, menampilkan gerai-gerai makanan serta peluang bertemu dan beramah mesra dengan para artis-artis.

Menurut Ketua, Audiens Melayu & Eaglevision, Mediacorp, Cik Sabariah Ramilan: "Ini adalah satu usaha kami untuk mendekatkan mereka kepada selebriti, para penerbit dan juga para pereka yang terlibat dalam industri televisyen Melayu Singapura untuk lebih mendekatkan lagi dan bermesra dengan penonton-penonton."

Pada masa yang sama, orang ramai juga berpeluang menghadiri satu rakaman khas bagi rancangan televisyen, Pesta Perdana Ekstra!, yang akan dihoskan oleh juara pertandingan Elit Suria, Hans Hamid dan Hana Rosli.

Karnival "Viva Pesta" akan berlangsung pada 16 Mac di Town Square, Kampus Mediacorp. Tiada bayaran masuk yang dikenakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan